Kluster Jalan Haji Lampam, Miri jadi kluster terbaru diisytiharkan hari ini
KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) telah mengisytiharkan satu kluster baharu dikesan di negeri ini iaitu Kluster Jalan Haji Lampam, Miri.
 
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menerusi kenyataan berkata, Kluster Jalan Haji Lampam merupakan satu kluster tempat kerja yang dikesan melibatkan pekerja-pekerja di sebuah premis makanan dan hiburan di Jalan Haji Lampam, Bandaraya Miri.
 
Menurutnya, sejumlah 121 individu telah disaring yang mana 22 kes telah dikesan positif COVID-19 termasuk kes indeks; 96 kes didapati negatif; dan tiga kes masih menunggu keputusan makmal.
 
“Kesemua kes positif Covid-19 ini telah dirujuk ke Hospital Miri dan dimasukkan ke PKRC di Daerah Miri bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan perkembangan harian Covid-19 di Sarawak, hari ini.
 
Dalam pada itu, JKNS juga telah mengisytiharkan tiga kluster tamat setelah tiada kes baharu dikesan atau dilaporkan dalam tempoh 28 hari melibatkan kluster-kluster ini.
 
Antaranya adalah Kluster Pondok, Belaga; Kluster Jalan Sebauh-Bintulu, Sebauh; dan Kluster Batu 25, Bintulu.
 
Manakala bagi kluster sebanyak 80 kluster yang masih aktif yang mana sebanyak sembilan kluster telah merekodkan 80 penambahan kes baharu manakala 71 kluster tidak merekodkan penambahan kes.
 
Dalam pada itu, JPBN memaklumkan hari ini daerah Marudi telah bertukar ke status Jingga daripada status Kuning setelah merekodkan 38 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas.
 
Daerah Kabong telah bertukar ke status Jingga daripada status Kuning selepas merekodkan sejumlah 23 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas.
 
Manakala daerah Saratok pula kembali ke status Jingga daripada status Merah selepas merekodkan sejumlah 40 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas.
 
“Ini menjadikan jumlah daerah berstatus Jingga telah meningkat kepada enam daerah.
 
“Dan 27 daerah berstatus Merah, enam daerah berstatus Kuning dan satu daerah kekal berstatus Hijau,” jelasnya.

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak