Kongsi pengalaman terima vaksin

KUCHING: Ubah persepsi, buang stigma terhadap vaksin, itu antara pesanan mereka yang sudahmenerima vaksin Covid-19 sebagai pelindung untuk menguatkan daya tahan badan.

Hari ini sudah 100 hari Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sejak dilancarkan 24 Februari lalu.

Lebih 3.2 juta dos vaksin diberikan penerima di seluruh negara yang dilaksana secara berperingkat-peringkat.

Dimulakan dengan petugas barisan hadapan sebelum disusuli kumpulan warga emas dan seterusnya melibatkan masyarakat berusia 60 tahun ke bawah.

Namun, dalam pelaksanaan program vaksinasi ini, masih terdapat kebimbangan dalam kalangan rakyat untuk menerima vaksin walaupun telah dimaklumkan tentang kepentingan pengambilan vaksin tersebut.

Zulazhar Sheblee

Suara Sarawak mendapatkan respons penerima vaksin dan mereka rata-rata bersetuju, mengambil vaksin penting untuk keselamatan bersama.

Menurut Zulazhar Sheblee yang bertugas sebagai jurugambar akhbar nasional, beliau antara yang terawal menerima suntikan dos pertama vaksin jenis Pfizer BioNTech di Klinik Kesihatan Kota Samarahan.

Berkongsi pengalamannya, perasaan takut dan gelisah memang terasa.

“Saya menerima vaksin ini kerana terpilih untuk menerima vaksin, antara yang pertama untuk barisan media di Sarawak.

“Mula-mula takut, melalui media sosial terdapat pelbagai berita buruk disiarkan, namun saya kuatkan hati dan berfikiran positif.

“Saya solat tahajud, alhamdulillah diberikan petunjuk… saya terjumpa satu artikel tentang vaksin Pfizer, dalam laporan itu menyatakan ia merupakan vaksin terbaik,” katanya ketika ditemui.

Malah, beliau turut difahamkan selepas pengambilan vaksin kemungkinan ada kesan sampingan, termasuk mengalami demam, pening kepala dan muntah.

“Tetapi ia tidak berlaku kepada saya, mungkin kesan sampingan bertindak balas terhadap badan seseorang berlainan.

“Namun ketika saya menerima dos kedua vaksin pada 19 Mac lalu, saya mula mengalami kesan sampingan itu selepas 48 jam… dan ia kembali seperti sedia kala selepas itu.

Nasihatnya, pengambilan vaksin penting tidak kira siapa pun kerana ia bertindak sebagai agen pelindung pada daya tahan tubuh badan agar tidak mudah dijangkiti virus berkenaan.

Sajali Jolhi

“Kebarangkalian untuk dijangkiti tipis jika kita menerima vaksin, malah ia menambah imuniti badan

“Nasihat saya, ambillah vaksin, apabila sudah divaksin mungkin kita boleh jalani hidup seperti dahulu, ketahanan badan lebih kuat dan paling penting amalkan SOP yang telah ditetapkan bagi mengelak sebarang kemungkinan jangkitan,” katanya.

Sementara, bagi warga emas berusia 81 tahun, Sajali Johli yang lengkap mendapatkan dua dos suntikan vaksin Sinovac pada 28 Mei lalu.

Menurut Sajali, beliau tidak mengalami apa-apa kesan sampingan mahupun selepas dos kedua.

“Saya dapat vaksin selepas didaftarkan oleh anak saya melalui aplikasi MySejahtera” katanya ketika dihubungi hari ini.

Berkaitan stigma masyarakat yang kebanyakannya menolak vaksin sebelum ini, Sajali berkata beliau hanya menurut apa-apa yang sudah diatur oleh anaknya dan percaya itu terbaik untuk dirinya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak