Laksanakan PKP bersasar

KUCHING: Kerajaan sewajarnya melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara bersasar, kata Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Sarawak Datuk Madeline Berma.

“Laksanakan PKP bersasar hanya di kawasan atau tempat zon merah, bukan keseluruhan negara,” katanya yang dihubungi, hari ini.

Selain itu, katanya kerajaan perlu memikirkan cara lain untuk menurunkan penularan Covid-19, memandangkan kes baharu Covid-19 masih tinggi walaupun sudah sebulan PKP.

Pada masa sama, Madeline menegaskan proses vaksinasi juga harus dipercepatkan bagi mencapai imuniti kelompok secepat mungkin.

Beliau menambah ujian calitan juga harus dipertingkatkan termasuk memperketat Prosedur Operasi Standard (SOP).

Di samping itu, beliau berkata kerajaan perlu meneliti semula perniagaan untuk dikelaskan dalam perkhidmatan perlu.

“Ia seharusnya merangkumi kedai komputer, telefon dan elektrik untuk keperluan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), kerja dari rumah dan sebagainya,” katanya.

Beliau mengulas mengenai pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa fasa pertama PKP di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dijadual berakhir esok, tidak akan ditamatkan malah akan diteruskan mungkin hingga pertengahan Julai ini.

Perdana Menteri berkata fasa pertama itu akan dilanjutkan memandangkan jumlah kes Covid-19 di negara ini belum mencapai nilai ambang di bawah 4,000 kes seperti yang ditetapkan, sebelum dapat beralih ke fasa seterusnya.

Suara Sarawak