Lapan lagi kawasan dikenakan PKPD, tiga lagi ditamatkan

KUCHING: Terdapat lapan lagi lokaliti di Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) manakala tiga telah diisytiharkan tamat, hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menerusi kenyataan berkata, lapan kawasan baharu yang akan menjalani PKPD mulai 12 hingga 25 Jun adalah Rh. Belayong anak Buang, KM22 Jalan Bintulu-Tatau, Bintulu; Rh. Fabian Jembu anak Tangi, Sg Setiam KM37, Jalan Pesisir Kuala Tatau, Bintulu; Rh. Chali anak Ugok, Batu 17, Jalan Bintulu-Miri, Bintulu; Kampung Dagang, Tatau; Rh. Enpawi anak Seriban, Sungai Kelawit, Jalan Tatau-Sibu, Tatau; dan Rh. Itam anak Ujok, Sungai Kelawit, KM16, Jalan Tatau-Sibu, Tatau.

“Selain itu, bagi dua lagi kawasan yang akan menjalani PKPD adalah Rh. Umang, Jamit, Ulu Nunggang, Pakan (13 hingga 29 Jun) dan Kampung Tabuan Haji Drahman, Kuching (14 hingga 28 Jun),” kata JPBN dalam kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, JPBN memaklumkan tiga kawasan yang diisytiharkan tamat PKPD adalah Kuarters Almabumi Plantation Sdn Bhd, Ladang Bukit, Ulu Sebauh, Bintulu (12 Jun); Rumah Sewa Atas DD Mart, Sg Plan, Bintulu (12 Jun) dan Rh. Daisy, Skim B, Bintangor, Sarikei (14 Jun).

Menerusi kenyataan itu juga, JPBN memberitahu setakat hari ini tiada kluster baharu dilaporkan menjadikan sebanyak 82 yang masih aktif di negeri ini.

“Sebanyak 10 kluster aktif yang telah merekodkan 85 penambahan kes baharu manakala 72 kluster tidak merekodkan penambahan kes,” ujarnya.

Setakat hari ini, daerah Saratok telah bertukar ke status merah dari kuning setelah merekodkan sebanyak 45 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas.

Ini menjadikan jumlah daerah berstatus merah telah meningkat kepada 30 daerah.

Manakala, dua daerah kekal berstatus jingga, lapan daerah berstatus kuning dan tiada daerah berstatus hijau.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak