Lelaki ditahan langgar sekatan PKPD

KOTA SAMARAHAN: Seorang tukang rumah ditangkap ketika cuba menyelinap masuk ke Kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tanpa kebenaran semalam.

Cubaan individu berusia 22 tahun itu bagaimanapun berjaya dikesan oleh pasukan Sekatan Jalan Raya (SJR) Kampung Tanjung Bundong kira-kira 4.34 petang.

Ketua Polis Daerah Samarahan Deputi Superintendan Sudirman Kram berkata subjek yang menunggang motosikal itu hanya memberikan alasan ingin bertemu rakan ketika ditahan oleh pihak berkuasa.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tiada apa-apa barang yang menyalahi undang-undang dijumpai.

“Namun lelaki tersebut telah melakukan kesalahan di bawah peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 kerana memasuki kawasan PKPD tanpa kebenaran dan tanpa alasan yang munasabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya jika sabit kesalahan individu terbabit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Sudirman selain itu menegaskan agar penduduk di kawasan PKPD untuk terus mematuhi SOP yang telah digariskan dan sentiasa berada di dalam rumah masing-masing.

Ulasnya, kebenaran keluar rumah akan diberikan untuk mereka mempunyai hal-hal kecemasan atau diarahkan oleh pihak KKM untuk hadir ujian calitan sahaja.

Beliau sekali lagi menegaskan pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kompaun terhadap mereka yang gagal mematuhi SOP yang ditetapkan.

Suara Sarawak