Lelaki warga emas hilang jatuh dalam sungai

JULAU: Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam sungai di Rumah Gerasu, Nanga Mujok di sini.

Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa berusia 75 tahun cuba menaiki perahu  kira-kira 4.30 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Julau DSP Andam Sulin berkata, laporan berhubung kehilangan mangsa dibuat oleh anggota keluarganya di Balai Polis Julau sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan.

“Operasi SAR turut disertai sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam pada itu, Ketua BBP Bintangor, Nicholas Belulin berkata pasukannya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan insiden pada 9.30 pagi tadi.

“Lokasi kejadian yang memakan masa kira-kira tiga jam perjalanan menggunakan perahu.

“Difahamkan mangsa dihanyutkan arus deras sebelum hilang,” jelasnya.

Suara Sarawak