Lima warga asing dicekup menghampiri perairan negara

MIRI: Lima lelaki warga asing ditahan selepas dua bot pancung yang dinaiki mereka dicekup ketika berada pada jarak hampir lima batu nautika dari Muara Sungai Miri, semalam.

Kedua-dua bot dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Miri dalam keadaan mencurigakan sebelum pasukan operasi bertindak mendekati bot bagi melakukan pemeriksaan.

Menurut Pengarah Zon Maritim Miri Kepten Maritim Md. Fauzi Othman kedua-dua bot pancung itu telah ditahan sekitar jam 9.30 pagi sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan terhadap kru kapal.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot pancung tersebut dikendalikan oleh lima kru lelaki yang disyaki bukan warga tempatan.

“Ia berikutan kesemua mereka (kru kapal) tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya kedua-dua bot pancung bersama lima kru serta peralatan memancing dibawa masuk ke Jeti Marina Bay Miri bagi tindakan siasatan lanjut.

Tegas beliau, kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak