Majikan, pekerja perlu patuhi SOP dengan ketat

KUCHING: Pekerja, pembekal dan pelanggan diwajibkan memakai pelitup muka dengan betul mengikut saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika berada di premis.

Dalam prosedur operasi standard (SOP) yang dikemas kini dan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 31 Mei lalu menyebut, majikan wajib memastikan pekerja mendaftar kehadiran bertugas dengan menggunakan MySejahtera.

Sekiranya kawasan tersebut tidak mempunyai liputan Internet majikan wajib memastikan pekerja mendaftar secara manual (nama, no. telefon, tarikh dan masa).

Selain itu, pekerja yang bergejala tidak dibenarkan untuk bekerja dan dikehendaki menjalankan ujian saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan yang berdekatan.

Pekerja yang dikenal pasti sebagai individu di bawah pengawasan (PUS) tidak dibenarkan bekerja sehingga mereka telah tamat tempoh kuarantin (serta diberikan ‘Release Order’ oleh pihak kesihatan) dan selesai menjalani ujian saringan Covid-19 yang telah ditetapkan.

Manakala, pemandu dan petugas kenderaan membawa barangan dan perkhidmatan perlu serta terkait rantaian aktiviti ekonomi atau industri di bawah senarai perkhidmatan perlu wajib menjalankan ujian saringan RT PCR swab test Covid-19 setiap dua minggu sekali.

Bagaimanapun, bagi daerah Bintulu, Tatau dan Sebauh ditetapkan sekali dalam tempoh tujuh hari.

Sehubungan itu, mereka juga mesti mendapatkan Permit PDRM jika perlu melaksanakan tugas di luar daerah masing-masing secara kerap atau berkala.

Ujian tersebut juga perlu dilaksanakan jika pekerja tersebut mengalami gejala seperti demam, batuk, selsema dan cirit-birit.

Dalam pada itu, pekerja tidak dibenarkan untuk makan secara berkumpulan tanpa penjarakan sosial semasa rehat dan sebagainya di tempat yang telah ditetapkan (dalam premis) oleh majikan.

SOP PKP itu menegaskan, majikan perlu memastikan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal di dalam kenderaan membawa barangan dan perkhidmatan perniagaan atau industri.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak