Mengharapkan keajaiban

KUCHING: Tidak meminta bintang bulan dan bintang, cuma doa semoga ada keajaiban supaya anak syurga ini bertahan semampunya, kata Norainie Panggau, 27.

Itu luahan ibu kepada Nur Syahfinie, 2, yang memiliki keadaan fizikal tidak seperti kanak-kanak lain kerana menghidap hidrosefalus atau lebihan cecair di dalam otak.

Penyakit tersebut menyebabkan saiz kepalanya lebih besar berbanding bayi normal ketika dilahirkan pada 17 April 2019.

Bagi ibu kepada tiga cahaya mata ini, sejak Syahfinie dilahirkan, dia tidak putus-putus berdoa agar ada keajaiban berlaku.

Namun keadaan anaknya masih sama walaupun sudah menjalani dua pembedahan.

Sebagai ibu yang membawa kandungan sembilan bulan 10 hari, siapa tidak sedih melihat keadaan anaknya yang terlantar sejak lahir, tidak mampu duduk apatah lagi berdiri, berlari dan bercakap seperti kanak-kanak lain.

“Syahfinie menyusu badan saya sejak lahir hingga sekarang. Selain hanya dapat makan bubur dan Nestum bayi.

“Namun kebelakangan ini, kesihatannya semakin merosot dan hanya mampu minum susu
melalui tiub,” kata Norainie ketika dihubungi Suara Sarawak, semalam.

Syahfinie kini terlantar di Hospital Umum Sarawak (HUS) sejak Isnin lalu dan ketika berita ini ditulis, penulis difahamkan keadaan kesihatannya semakin menurun dan bergantung dengan mesin oksigen.

Mengimbas kembali, Norainie yang berasal dari Sibu berkata, masalah kesihatan Syahfinie mula dikesan ketika imbasan kandungan dilakukan semasa dia sudah hampir melahirkan.

“Doktor mengesan terdapat lebihan cecair di dalam kepala Syahfinie dan saiz kepada besar daripada biasa menyebabkan saya terpaksa melahirkannya secara pembedahan.

“Mulanya, memang sedih dan hilang semangat tetapi cuba positif walaupun jauh di sudut hati masih berharap ada keajaiban.

“Selepas seminggu dilahirkan, Syahfinie menjalani pembedahan pertama untuk mengeluarkan lebihan cecair tersebut, namun tidak sampai sebulan kepalanya kembali membesar.

“Ketika Syahfinie menjangkau usia tiga bulan, pembedahan kedua pula dilakukan untuk tujuan sama tetapi berlaku sedikit komplikasi apabila nafasnya terhenti dan terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) semalam serta memerlukan bantuan mesin oksigen,” ujarnya sayu.

Menurut Norainie, kejadian tersebut menyebabkan nalurinya sebagai seorang ibu trauma untuk membawa
Syahfinie ke hospital lagi.

“Begitu juga, selepas sebulan pembedahan kepala Syahfinie kembali membesar hinggalah dia berusia 2 tahun sebulan ini terpaksa dimasukkan ke hospital semula kerana dia tiba-tiba sesak nafas, muka kebiru-biruan serta terdapat lendir keluar dari mulut.

“Dalam masa sama kepalanya terluka dan difahamkan kulit kepala semakin nipis berikutan semakin membesar akibat lebihan cecair itu.

“Sekarang saya masih di hospital dan Syahfinie bergantung dengan mesin oksigen kerana jantungnya lemah,” jelasnya dalam nada tersekat-sekat kesedihan.

Ketika penulis bertanya harapan dan keperluan yang dia perlukan, Norainie terdiam pilu mengakui hatinya dirundung kesedihan.

“Tidak ada apa-apa lagi yang diperlukan, saya reda dengan ketentuan kerana anak syurga ini adalah amanah Allah dan harus dijaga sebaik-baiknya.

Cuma sokongan dan bantuan supaya Syahfinie lebih selesa.

“Tambahan pula dia tidak dibenarkan menjalani pembedahan untuk kali ketiga kerana risiko sangat tinggi, saya tidak mahu menyeksa dan menambah penderitaannya,” ujarnya.

Norainie bersama-sama tiga anak masing-masing berusia 6, 5 dan 2 tahun serta suaminya, Johari Bolhaji, 51, kini menetap di Kampung Sungai Bedil di sini.

Mengenai kewangan pula, wanita berketurunan Iban itu mengakui keluarganya tidak mempunyai pendapatan tetap dan mengharapkan duit sewa tingkat bawah rumah pusaka suaminya itu pada harga RM700 sebulan.

“Suami hanya buruh kasar dan tiada kerja serta pendapatan tetap.

Namun pengalaman ini mengajar erti kesabaran.

“Kami bersyukur kerana dipertemukan dengan banyak pihak, NGO dan individu yang bermurah hati membantu.

Salah seorang adalah abang Wan Huzaimi Wan Azami iaitu pengasas Grab Jenazah Free dan kak Jamaiyah.

“Terima kasih sudi membantu Syahfinie dan menghulurkan pelbagai bentuk bantuan,” katanya terharu.

Norainie bagaimanapun berkata, tidak pernah memohon sebarang bantuan kerajaan termasuk dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana tidak tahu cara serta tidak mempunyai pengangkutan.

“Ada pihak pernah memberi borang untuk memohon bantuan JKM, tetapi saya tidak sempat mengisi kerana anak dimasukkan ke hospital semula,” ujarnya.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Fatimah Abdullah ketika dihubungi semalam sudah mendapatkan semua maklumat penuh Syahfinie dan mengarahkan pegawai JKM Sarawak untuk mengambil tindakan susulan.

Bagi orang ramai yang hendak menderma dan menghulurkan bantuan, boleh menghubungi Norainie di talian 011-16420545 atau pihak yang banyak membantu menguruskan kes dan kos perubatan Syahfinie iaitu Jamaiyah (013-5610114) atau Wan Van Jenazah (016-5919755).

Penyakit berkepala besar dikenali sebagai hidrosefalus ini turut membawa komplikasi lain yang serius sehingga pesakit hanya mampu terbaring dan segala urusan harian perlu dilakukan oleh ibu bapa dan penjaga.

Lebihan cecair otak berlaku kerana beberapa sebab, antaranya terdapat halangan atau ketumbuhan yang menghalang pengaliran cecair otak secara normal dan akan mengakibatkan peningkatan tekanan di dalam otak.

Seterusnya keadaan ini akan mengganggu perkembangan otak dan saraf tunjang serta boleh menyebabkan kecacatan saraf kekal dan kematian boleh berlaku sekiranya tidak dirawat.

Punca utama penyakit berkenaan masih tidak diketahui. Namun ada beberapa keadaan yang menyumbang seperti wujudnya penyakit lain seperti ketumbuhan, jangkitan dan pendarahan apabila berlaku gangguan dalam sistem aliran cecair otak.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak