Mesir hantar bantuan bina semula Gaza

KAHERAH: Mesir menghantar jentera kejuruteraan dan kru ke Semenanjung Gaza pada Jumaat untuk pembinaan semula susulan kemusnahan akibat kempen pengeboman Israel di wilayah Palestin yang terkepung itu bulan lalu.

Portal berita kerajaan Mesir, Ahram Online, melaporkan kelengkapan itu yang merangkumi sejumlah trak, jentolak dan kren akan membuang serpihan dan runtuhan daripada bangunan yang musnah dalam serangan udara Israel selama 11 hari di Gaza.

Bantuan itu hadir susulan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi berikrar untuk menyumbang AS$500 juta (RM2.06 bilion) bagi membantu pembinaan semula Gaza dengan pembabitan syarikat Mesir, lapor agensi berita Xinhua.

Bulan lalu, Mesir menjadi orang tengah dalam perjanjian gencatan senjata bagi menamatkan pertempuran terbaru antara Israel dan Hamas.

Pertempuran menyebabkan sekurang-kurangnya 250 rakyat Palestin dan 12 rakyat Israel terbunuh, dan ribuan kediaman serta infrastruktur lain rosak atau musnah sepenuhnya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak