Modul pembelajaran merentas sempadan

BELAJAR tidak berhenti apabila kita sudah tamat persekolahan.

Apatah lagi, apabila seseorang itu sudah bersara.

Keinginan untuk terus belajar sentiasa bergelora dalam hati seseorang, terutama dalam kalangan golongan pendidik.

Amalan ini sepatutnya dipraktikkan oleh segenap lapisan rakyat agar ia menjadi teladan kepada generasi berikutnya.

Sebelum bersara, saya menolak apabila diminta memohon jawatan pensyarah kontrak dengan universiti.

Jawatan kontrak bererti saya akan terikat dengan peraturan dan perintah pengurusan sesebuah universiti.

Saya tidak bersedia untuk mengorbankan kebebasan bergerak selepas bersara bagi menjawat jawatan kontrak.

Saya sudah bersedia untuk bersara dan terus belajar.

Akhir tahun lalu, saya terima pesanan dalam WhatsApp daripada profesor di sebuah universiti di Indonesia.

Beliau menawarkan saya untuk menjadi pengajar sambilan di universitinya.

Tawaran kali ini membuat saya berfikir. Saya sukar menolaknya sebab tawaran datang dari sebuah universiti di Indonesia.

Mengajar selama lebih 30 tahun dengan universiti tempatan, sudah saya lakukan.

Yang berbeza kali ini ialah peluang mengajar dengan universiti di luar negara.

Peluang yang datang melayang tanpa diminta membuat saya berfikir.

Menjadi pensyarah di negara lain, sebelum pandemik Covid-19 memerlukan seseorang itu berpindah ke negara itu.

Namun kini, kemajuan teknologi informasi komunikasi membolehkan kita memikul sesuatu amanah tanpa memerlukan pemindahan fizikal.

Mengajar di sebuah universiti luar negara merupakan pengalaman berharga yang tidak ternilai harganya.

Apabila ditawarkan peluang ini oleh Dekan Fakultas Ilmu Komunikasi (FIKOM), Universitas Esa Unggul (UEU), Jakarta, Indonesia, Profesor Dr Erman Anom, hati saya berbelah bahagi.

Hati berubah menerimanya apabila Prof Erman memaklumkan bahawa strategi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dipraktikkan.

Saya tidak perlu pergi ke Indonesia untuk menggalas amanah ini. Ini ialah peluang keemasan untuk mengajar kumpulan mahasiswa-mahasiswi Indonesia yang tidak pernah saya jangkakan akan diberikan.

Dalam kolum minggu ini, saya ingin berkongsi pendekatan PdPR yang dipraktikkan di UEU.

Saya diminta mengajar subjek Komunikasi Massa bagi mahasiswa-mahasiswi yang mengikuti Program Sarjana Muda Komunikasi.

UEU menggunakan sistem semester sama seperti di negara ini, kuliah selama 14 minggu dan kemudian peperiksaan.

Yang menarik ialah modul subjek Komunikasi Massa sudah pun disediakan oleh tenaga akademik di UEU.

Modul ini memperincikan tajuk bagi setiap minggu selama 14 minggu. Slaid pembentangan turut disediakan.

Tugasan dan kuiz mingguan telah disediakan sepanjang 14 minggu juga.

Ujian tengah semester (UTS) dan ujian akhir semester (UAS) telah dijadualkan dari awal lagi.

Semua bahan ini dimuat naik dalam portal e-pembelajaran UEU.

Sebelum semester bermula, satu taklimat pengajaran dan pembelajaran telah diberikan oleh Ketua Program atau Kaprodi, Dr Ruslan Ramli bersama pasukan akademik kepada semua tenaga pengajar.

Yang menarik ialah program Sarjana Muda Komunikasi ini diajar oleh kumpulan tenaga akademik dalaman UEU dan sambilan.

Yang sambilan datang dari seluruh Indonesia, tidak terpusat di Jakarta sahaja.

Dengan kata lain, mereka mencari tenaga akademik berkepakaran bagi setiap subjek yang diajar.

Dalam pasukan ini, terdapat seorang lagi pensyarah sambilan dari Malaysia yang mengajar subjek lain.

Walaupun modul yang diamanahkan kepada saya sudah lengkap, namun saya diberikan kebebasan untuk membuat input tambahan dengan menambah baik kandungan modul.

Tanyalah mana-mana ahli akademik adakah mereka bergembira dengan kebebasan ini.

Jawapannya sudah pasti, ya.

Walaupun tugasan mingguan
ini sudah siap, saya tetap diberikan kebebasan untuk menukarnya mengikut kesesuaiannya.

Langkah UEU ini sememangnya saya puji.

Begitu juga dengan kuiz mingguan. Kuliah dalam talian atau disebut sebagai “tatap maya” menggunakan aplikasi Zoom.

Kuliah tatap maya ini dikendalikan pada minggu-minggu ganjil.

Saya bertemu dengan mahasiswa-mahasiswi Indonesia dalam talian pada minggu ganjil.

Selepas mengikuti kuliah tatap maya ini, mahasiswa diminta menjawab soalan dalam forum yang dimuat naik dalam portal e-pembelajaran UEU.

Penglibatan dalam forum sebagai bukti kehadiran pelajar dan pada masa yang sama, saya menerima input apakah mereka memahami bahan yang telah disampaikan.

Soalan dalam forum saya tatapkan agar berkaitan dengan tajuk kuliah pada minggu berkenaan.

Pada minggu genap pula terdapat tugasan yang kita berikan dan dilaksanakan oleh pelajar.

Tugasan dalam talian ini memerlukan mahasiswa membuat pembacaan berdasarkan tajuk yang telah ditetapkan.

Minggu genap pelajar membuat pembelajaran kendiri dan tugasan yang dikemukakan membolehkan tenaga akademik memantau kemajuan mereka.

Model PdPR yang dipraktikkan UEU sebenarnya sejajar dengan landasan Teori Komunikasi Berantarakan Komputer (CMC). J.B. Walther (1996) menjelaskan bahawa kaedah CMC menawarkan kelebihan dari segi maklum balas segera kedua-dua pihak sumber dan penerima.

Kekuatan kaedah ini terletak kepada kebolehan mengumpulkan sumber manusia dari seluruh pelosok dunia.

Menggunakan CMC dalam pengajaran, teori ini menjelaskan manusia yang berbeza dari segi batasan sosial dan agama dapat ditautkan apabila kaedah komunikasi bersemuka tidak dapat dilaksanakan akibat wabak Covid-19 yang melanda dunia.

CMC menggariskan bahawa sumber iaitu pensyarah perlu bijak menggunakan aktiviti yang menjadi “pencetus” yang menggalakkan integrasi tenaga akademik dan pelajar.

Secara mudahnya, kita perlu memikirkan aktiviti sesuai untuk menarik keinginan para pelajar untuk mengikuti pelajaran yang telah digubal.

Melalui portal e-pembelajaran dan disokong oleh aplikasi WhatsApp, saya mudah berkomunikasi dengan mahasiswa-mahasiswi yang berada di Indonesia pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Perbezaan bahasa Melayu dan Indonesia dapat diatasi kerana aplikasi terjemahan Google walaupun tidak seratus peratus tepat telah sedia terbangun.

Model UEU memerlukan kita membangunkan model insan yang bijak memanfaatkan teknologi sedia ada.

• Dr Mus Chairil Samani ialah penganalisis media dan perunding penerbitan.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak