Orang Jepun fasih berbahasa Melayu

KUCHING: Jika tidak melihat wajah atau mengetahui namanya, tetapi hanya mendengar perbualannya dalam bahasa Melayu, mungkin ada yang menyangka beliau orang Melayu dari Malaysia.

Individu yang dimaksudkan ialah seorang profesor berbangsa Jepun yang fasih berbahasa Melayu. Minatnya yang mendalam terhadap bahasa serta keadaan yang memaksa beliau menggunakan bahasa Malaysia yang membuatkan Profesor Nomoto Hiroki dari Tokyo Universiti of Foreign Studies (TUFS) belajar menguasai Bahasa Malaysia.

Jelasnya, beliau terpikat dengan bahasa kebangsaan itu apabila sekumpulan pelajar Malaysia berkunjung ke Jepun dan bertutur semasa beliau di sekolah menengah.

“Saya mula terpikat mendengar bunyi serta lenggok bahasa ketika itu dan mengambil peluang mempelajari tatabahasa dan kosa kata bahasa Melayu pada masa sama.

“Sejak itu, saya terus belajar melalui sistem tatabahasa,” katanya dalam temu bual program Twenty30 terbitan TVS yang dihoskan oleh moderator Dr Jeniri Amir dan disiarkan melalui saluran 122 Astro pada 28 Jun ini, jam 9 malam.

Mengakui dirinya seorang pencinta bahasa, Nomoto turut fasih dalam pelbagai bahasa asing termasuk bahasa Jerman, Itali, Perancis selain bahasa ibundanya. Berkongsi pengalamannya kepada penonton Twenty30, katanya, ketika melanjutkan pelajarannya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sarjana linguistik pada 2005, beliau sememangnya terdedah kepada bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar utama di unverisiti tu.

“Jadi, ini secara tidak langsung memaksa saya untuk menggunakan bahasa Malaysia dalam kehidupan seharian selain untuk pengajian.

“Lagipun hanya saya seorang berasal dari Jepun dan pelajar asing yang ada pun ramai yang berasal dari Korea dan China. “Ada juga orang yang cuba menggunakan bahasa Inggeris dengan saya tetapi tidak kerap keranan kebanyakan mereka menggunakan bahasa Melayu.

“Saya hanya belajar bahasa ini melalui perbualan dengan orang ramai, bukan membaca novel atau menonton televisyen,” tambahnya.

Tambahnya, beliau melihat manfaat kebolehan menguasai pelbagai bahasa sebagai sesuatu yang menguntungkan kerana membolehkan komunikasi meluas dengan lebih ramai orang serta penterjemahan bahasa yang lebih cepat dan tepat.

“Ini membolehkan perkongsian maklumat dalam pelbagai bidang,” katanya. Pakar bahasa itu juga menasihati orang ramai agar menjadikan kebolehan berbahasa sebagai suatu hobi untuk merangsang minda dan pemikiran.

Jelasnya, di TUFS, pelajar akan didedahkan kepada sistem linguistik bahasa Melayu melalui tatabahasa dan perbualan, selepas itu bergantung kepada jurusan yang dipilih mereka.

“Kami juga ada menawarkan kursus bahasa Melayu menggunakan tulisan Jawi,” tambahnya. Harapannya ialah penggunaan bahasa Melayu dapat digunakan secara keseluruhan di Malaysia dan di peringkat diplomatik atau perniagaan antarabangsa.

Jika anda berminat untuk mendengar kisah menarik ini, pastikan anda berjanji temu dengan Profesor Nomoto jam 9 malam di Saluran 122 Astro dan MyFreeView pada 28 Jun nanti


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak