Pekerja positif Covid-19, operasi Trienekens terjejas

KUCHING: Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd hari ini memaklumkan bahawa salah seorang kakitangannya dari Bahagian Logistik dan Perkhidmatan, Kuching disahkan positif Covid-19 pada 1 Jun, semalam.

Trienekens Sarawak menerusi kenyataan hari ini berkata, tarikh akhir kakitangan tersebut bekerja adalah pada 29 Mei, lalu.

Sehubungan itu, pihaknya mengambil langkah segera mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa demi keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan kakitangan serta pelanggan.

Ia termasuk dengan penutupan segera pejabat Logistik & Perkhidmatan Kuching untuk tujuan pembasmian kuman; semua kenderaan dan bekas telah di sanitasi ; dan semua kakitangan yang merupakan kontak rapat kepada kes telah dikenal pasti serta diarahkan menjalankan kuarantin sementara menunggu ujian calitan.

Dalam pada itu, Trienekens Sarawak juga telah menetapkan langkah pencegahan tambahan untuk kepentingan kakitangan iaitu pejabat, peralatan kemudahan dan kenderaan akan disanitasi setiap minggu; pekerja akan diberikan pakaian pelindung diri (PPE) serta pembersihan dan sebagainya.

“Perkhidmatan pengumpulan sampah di kawasan tertentu di bawah Trienekens akan terjejas untuk dua minggu kerana masalah tenaga kerja yang dihadapi oleh syarikat,” katanya.

Trienekens Sarawak meminta kerjasama orang ramai dalam tempoh ini dan menasihati mereka untuk menghubungi Trienekens bagi mendapatkan maklumat lanjut atau bantuan.

Dalam pada itu, Trienekens juga berharap agar orang ramai bersabar dan dapat memahami masalah yang dihadapi ketika ini.

Sebagai rekod, untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Trienekens di talian 082-612300 (hotline) atau e-mel
customercare@trienekens.com.my.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak