Pelajar tingkatan 5 ‘lalok’ dadah antara ditahan

PADAWAN: Seorang pelajar tingkatan 5 antara tiga lelaki yang dicekup polis kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan Deputi Superintendan Lim Jaw Shyong berkata ketiga-tiga suspek yang berusia 17, 22 dan 28 tahun itu ditahan hasil serbuan Pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Dadah Padawan di sebuah rumah di Kampung Mambong sekitar jam 4 petang, Ahad lalu.

“Cubaan salah seorang suspek membuang sesuatu di tempat duduknya ketika pemeriksaan bagaimananapun gagal setelah kotak berisi dadah itu berjaya ditemui pasukan operasi.

“Pemeriksaan lanjut terhadap barang yang dibuang suspek mendapati satu kotak yang mengandungi dadah jenis syabu seberat 5.10 gram dan dianggarkan bernilai RM450,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jaw Shyong berkata hasil soal siasat awal, salah seorang daripada suspek mengaku dadah yang dirampas adalah kepunyaannya, yang diperolehi daripada seorang lelaki dikenali sebagai ‘Aloy’ secara serahan tangan pada pagi sebelum mereka ditangkap.

Beliau menambah, salah seorang suspek (pelajar) juga mengaku sudah terlibat dengan dadah sejak dua tahun lepas dan mendapat bekalan daripada seorang lagi suspek namun tidak pernah ditangkap.

“Usaha mendapatkan maklumat lanjut daripada kesemua suspek dan mengesan dari mana bekalan dadah akan diteruskan,” katanya.

Tambah Jaw Shyong, ketiga-tiga suspek yang positif dadah jenis Methamphetamine kini ditahan di lokap Balai Polis Siburan untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

 


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak