Pencarian Nyawai ditangguh ekoran cuaca buruk

SARIKEI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki warga emas yang terjatuh  ke dalam Sungai Mujok, ditangguhkan sementara berikutan cuaca buruk.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin berkata  hujan lebat mengakibatkan paras air naik dan arus deras yang boleh membahayakan pasukan SAR.

“Kami menerima maklumat daripada seorang penduduk Rumah Gerasi yang ditugaskan untuk mengambil pasukan bomba dari jeti Entabai, Julau.

“Penduduk rumah panjang membuat keputusan untuk tidak mengambil pasukan bomba di jeti tersebut pagi ini kerana arus sungai deras serta paras air tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sepasukan anggota digerakkan ke jeti tersebut menaiki kenderaan pacuan empat roda melalui jalan darat dan tiba di jeti tersebut sekitar 10.38 pagi.

Ketika ini katanya, anggotanya masih bersiap sedia untuk ke lokasi kejadian yang mengambil masa kira- kira tiga jam perjalanan menggunakan bot.

Dalam insiden pada Ahad lalu, mangsa Nyawai Guntor, 75, dilaporkan hilang selepas tergelincir dan dihanyutkan arus deras.

Bagaimanapun, pasukan SAR gagal menemui mangsa sebelum operasi ditangguhkan pada 4.30 petang semalam.

Ketika kejadian mangsa dipercayai hendak ke kebun dari pangkalan Rumah Gerasi sebelum tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai.

Suara Sarawak