Penduduk DUN Repok mula terima bantuan bakul makanan BKSS 6.0

SARIKEI: Sebanyak 1,000 Ketua Isi Rumah (KIR) menerima sumbangan bakul makanan di bawah Bantuan Sarawakku Sayang (BKSS) 6.0 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Repok, bermula hari ini.

ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, bakul makanan itu akan dibahagikan mengikut jumlah KIR di setiap kampung dan rumah panjang secara berperingkat-peringkat.

Proses agihan sumbangan katanya, dihantar ke setiap kampung dan rumah panjang oleh para petugas Pusat Khidmat DUN 45 Repok.

“Pada masa yang sama, ketua masyarakat dan ketua kaum dan ahli parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut membantu. Penghantaran ini yang akan bermula hari ini mengikut jadual,” katanya kepada Suara Sarawak.

Menurutnya, bantuan itu merupakan usaha berterusan kerajaan GPS untuk membantu seluruh rakyat Sarawak yang terkesan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bermula 29 Mei hingga 14 Jun 2021.

“Terima kasih kepada kerajaan GPS di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam menyalurkan bantuan yang sudah pasti dapat mengurangkan impak pelaksanaan PKP kepada rakyat khususnya di kawasan saya.

“Sumbangan ini amat bermakna sekali gus membuktikan Kerajaan GPS mengambil berat keperluan rakyat” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meninjau persediaan dan mengagih sendiri bantuan tersebut di kawasan Repok.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak