Penganan Jala merajuk

SABAR dan ikhlas merupakan dua sifat mulia yang perlu ada dalam diri si pembuat kuih Penganan Jala.

Dikatakan mempunyai semangat atau roh tersendiri, tanpa kesabaran dan keikhlasan ketika membuat kuih itu, adunan akan merajuk.

Situasi itu diakui oleh Dari Meai yang cekal meneruskan legasi warisan keluarganya membuat kuih tradisional tersebut.

“Seperti kuih Penganan Jala, mengikut kepercayaan orang tua dahulu, kuih ini memiliki semangat tersendiri.

“Sekiranya kita marah, tidak ikhlas atau ketika si pembuatnya dalam keadaan tidak tenang, kuih ini tidak akan menjadi.

“Adunannya tidak mahu masak walau macam mana kita berusaha untuk menggorengnya,” katanya kepada Suara Sarawak.

Menurut wanita berusia 45 tahun ini, kebolehannya membuat kuih tradisional iaitu kuih Penganan Jala dan kuih cap dimulakan hanya gemar melihat ibunya membuat kuih-kuih berkenaan.

“Ketika kecil saya suka berdango (bermain masak-masak) sambil curi-curi melihat ibu membuat kuih ini kerana orang tua dahulu ketika membuat kuih ini, mereka akan membuat secara sembunyi dan tidak suka diganggu.

“Mengikut kepercayaan orang tua-tua, kuih ini juga akan merajuk sekiranya ada orang bising atau bermulut cabul di sekitar.

Oleh itu, mereka akan membuatnya secara sembunyi,” ujarnya yang masih setia membuat kuih itu sejak 20 tahun lalu.

Dihasilkan hanya dengan mengadun tepung beras, gula apong dan air, Dari mendedahkan kudapan tradisional itu mempunyai darjat tinggi kerana selain disajikan ketika perayaan Hari Gawai, kuih Penangan Jala juga dihidangkan semasa upacara miring di rumah panjang.

Berasal dari Kampung Gayau Simunjan, Dari mendedahkan dia adalah generasi terakhir yang membuat kuih Penganan Jala dan kuih cap dalam keluarga.

“Saya risau dan tidak mahu kuih ini hilang suatu hari nanti,” katanya.

Sebelum ini, dia sering mengajar orang ramai yang berminat untuk membuat kuih tersebut.

Sepuluh tahun kebelakangan ini, Dari telah mengajar sesiapa sahaja yang datang kepadanya untuk belajar, namun sejak pandemik Covid-19, aktiviti berkenaan terpaksa dihentikan.

Dalam pengamatannya, Dari mengakui tidak ramai anak muridnya yang serius meneruskan langkahnya membuat kuih itu.

Selain ilmu diperturunkan kepada mereka yang ingin belajar, sebelum pandemik juga, Dari sering diundang ke rumah orang kenamaan untuk membuat kudapan itu di kediaman mereka.

Dari yang kini menetap sementara di Kuching berkata, kedatangannya ke bandar raya ini sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula adalah kerana ingin membantu adik iparnya membuat kudapan itu untuk memenuhi pasaran.

“Adik ipar saya, Nancy Annie Kuda @ Nancy Abdullah adalah salah seorang anak didik saya,” katanya sambil berharap suatu hari nanti lebih ramai generasi muda mengikuti langkah Nancy.

Pada masa yang sama, Dari berharap suatu hari kelak, pihak kerajaan menerusi agensi berkaitan mempelawanya bekerjasama sebagai tenaga pengajar untuk membuka kelas mengajar membuat kuih Penganan Jala dan kuih Cap.

“Kalau bukan generasi kita ini berusaha untuk memelihara kuih tradisional ini, siapa lagi?” soalnya dengan penuh harapan.

Suara Sarawak