Pengembara dibenar masuk Sarawak selepas melengkapkan tempoh kuarantin wajib dan negatif ujian calitan pada hari ke-10 atau ke-18

KUCHING: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membuat beberapa pindaan
ke atas Garis Panduan (SOP) Pengendalian Covid-19 di Malaysia susulan daripada perkembangan semasa Covid-19 di dalam dan luar negara ketika ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menerusi kenyataan berkata, ia juga diputuskan setelah mengambil kira perubahan tatacara berkaitan kuarantin dan ujian calitan Covid-19 bagi pengembara dan anak kapal atau krew yang tiba melalui pintu masuk antarabangsa.

“Mengikut tatacara terkini, semua pengembara dari luar negara yang tiba ke Malaysia adalah diwajibkan untuk menjalani ujian RT-PCR Covid-19 dan menjalani kuarantin mandatori selama 14 hari atau 21 hari (jika pulang dari negara India, Nepal, Pakistan, Sri Lanka dan Bangladesh) di destinasi ketibaan pertama (Negeri) sebelum dibenarkan untuk meneruskan perjalanan ke negeri lain.

“Mereka yang terlibat juga perlu mematuhi tatacara kemasukan yang telah ditetapkan oleh Negeri ketibaan seterusnya,” katanya JPBN dalam kenyataan, hari ini.

Tambah JPBN, mereka mengambil maklum pindaan tersebut dan sedang meneliti tatacara kemasukan ke Sarawak bersama-sama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) serta memantau perkembangan semasa situasi Covid-19 untuk menyelaraskan tatacara bagi mereka yang ingin pulang ke Sarawak dari luar negara (transit di Semenanjung Malaysia).

“Sehingga keputusan lanjut dibuat, semua pengembara dari luar negara harus mematuhi arahan terkini yang ditetapkan oleh KKM.

“Bagi mereka yang telah melengkapkan tempoh kuarantin wajib dan swab pada hari ke-10 atau ke-18 negatif, serta pulang ke Sarawak pada hari yang sama (24 jam), mereka dibenarkan masuk ke Sarawak dan akan dikuarantin di stesen kuarantin sehingga swab ulangan pertama di Sarawak adalah negatif,” jelasnya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak