Perlukan formula baharu

PUSA: Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang terus digunakan berikutan pandemik masih belum reda sebenarnya memerlukan formula baharu yang lebih berkesan.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Pusa Sahariya Tahot berkata, pihaknya menerima banyak rungutan daripada ibu bapa. Menurutnya, isu paling kerap disuarakan melibatkan pemahaman.

“Harus diakui taraf pendidikan ibu bapa di luar bandar berbeza, maka ada yang mudah membantu anak-anak dalam PdPR dan ada yang sukar membantu lebih-lebih lagi melibatkan mata pelajaran yang berat. “Maksudnya, bukan ibu bapa enggan membantu atau membimbing anak-anak, tetapi ada yang tiada berkemampuan.

“Ini cabarannya berbanding PdP biasa iaitu guru boleh menjelaskan terus kepada anak didik masing-masing,” katanya ditanya tentang PdPR yang akan digunakan selepas tamat cuti penggal, di sini, baru-baru ini.

Antara lain jelasnya, penerimaan anak-anak yang berbeza juga mempengaruhi keberkesanan PdPR. Tambahnya, kaedah PdPR dibimbangi menyebabkan jurang minda antara pelajar semakin jauh.

“Di rumah, fokus mereka terhadap pelajaran sukar dikawal kerana terlampau banyak hiburan seperti menonton, bermain dan sebagainya. “Saya tahu guru-guru terpaksa mencari modul yang sesuai untuk memberi ilmu dalam norma baru… satu lagi beban kepada mereka.

“Justeru itu, tanggungjawab sekarang bukan sahaja kepada ibu bapa tetapi juga kepada guru dan jabatan pendidikan.

“Kementerian perlu mencari formula baharu dalam menangani masalah pembelajaran ketika ini,” ujarnya. Beliau turut berpendapat peranan media seperti TV Pendidikan perlu sentiasa ada penambahbaikan.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak