Pertukaran hantaran, sarung cincin tidak dibenarkan dalam akad nikah di Sarawak

KUCHING: Majlis adat seperti pertukaran barang hantaran, menyarung cincin atau seumpamanya tidak dibenarkan dalam majlis akad nikah di Sarawak sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Majlis Islam Sarawak (MIS) dalam satu kenyataan media berkata, selain majlis adat, kenduri bagi meraikan akad nikah tersebut turut tidak dibenarkan dan tempoh masa akad nikah ditetapkan tidak melebihi 20 minit termasuk bacaan lafaz taklik.

“Pelaksanaan akad nikah pasangan yang telah mendapat kebenaran berkahwin di Sarawak hanya boleh dilaksanakan di pejabat agama Islam bahagian atau daerah dan premis MIS.

“Jumlah kehadiran maksimum untuk majlis akad nikah hanya dibenarkan seramai lapan orang termasuk jurunikah dan saksi serta tertakluk kepada kapasiti ruang yang digunakan,” katanya, hari ini.

Menurut MIS, pasangan dan individu yang hadir perlu mengimbas kod QR aplikasi MySejahtera serta menunjukkan status risiko dalam aplikasi tersebut kepada petugas pendaftaran masuk premis.

“Hanya individu yang berstatus risiko rendah dan mempunyai suhu badan tidak melebihi 37.5 darjah celsius sahaja dibenarkan hadir.

“Pasangan perlu mematuhi masa temu janji yang telah ditetapkan dan sentiasa mematuhi garis panduan sedia ada seperti memakai pelitup muka, menggunakan cecair sanitasi tangan, tidak berjabat tangan serta melakukan penjarakan fizikal satu meter bagi setiap orang yang hadir,” jelasnya.

MIS menambah, garis panduan itu berkuat kuasa bermula 1 Julai ini dan boleh dipinda dari semasa ke semasa.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak