PKP tidak akan putuskan jangkitan Covid-19 – James Masing

KUCHING: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau PKP Bersyarat tidak akan memutuskan rantaian penyebaran Covid-19, kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Masing.

Sebaliknya, beliau menegaskan hanya dengan memberi vaksin sebanyak mungkin adalah satu-satunya cara untuk mengawal penyebaran pandemik ini.

“Lebih penting sekarang adalah meningkatkan dan mempercepat proses vaksinasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Masing yang juga Adun Baleh berkata tiada keperluan untuk Sarawak mengikut PKP seperti yang dilaksanakan di Semenanjung Malaysia.

“Namun dengan menjadi sebahagian dalam Malaysia, kita harus mengikut keputusan nasional,” katanya.

Selain itu, beliau merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan berkata pendekatan menutup kilang juga tidak dapat memutuskan jangkitan Covid-19.

Katanya ini kerana apabila PKP tamat, jangkitan Covid-19 akan terus berlaku dan kesan ‘lockdown’ akan menjejaskan ekonomi khususnya melibatkan industri, serta menimbulkan kekecewaan dan kemarahan rakyat kepada kerajaan.

Justeru, beliau berkata tindakan agresif perlu dilakukan dengan memastikan para pekerja industri mendapat vaksinasi.

Dalam pada itu, Masing berkata inisiatif Sarawak melaksanakan pendekatan ‘vaksin dulu, daftar kemudian’ telah membolehkan ramai rakyat kini sudah divaksin, sekaligus menjadi jumlah paling banyak di Malaysia.

Suara Sarawak