Politik stabil beri banyak manfaat

KUCHING: Kestabilan politik di Sarawak sekarang ini telah memberikan banyak manfaat kepada rakyat, termasuk ketika menghadapi penularan pandemik Covid-19, kata Adun Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak di bawah pemerintahan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bukan sahaja prihatin dan membela kebajikan rakyat menerusi pelbagai jenis Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) tetapi juga meneruskan projek pembangunan seperti tanah, perumahan, sosioekonomi serta melindung dan mempertahankan hak Sarawak.

“Kerajaan Sarawak telah membelanjakan lebih RM4.4 bilion untuk BKSS bagi membantu rakyat ketika pandemik Covid-19 seperti yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berjumlah RM1.4 bilion.

“Ini termasuk pemberian bantuan wang tunai dan makanan serta subsidi bersasar kepada rakyat dan peniaga di negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan barangan ke beberapa kawasan PBB Dun Demak Laut.

Tambah beliau, tidak cukup dengan itu, Kerajaan GPS juga telah membiayai kos perubatan bagi menangani pandemik seperti membeli peralatan perubatan seperti ujian calitan Covid-19, Alat Pelindung Diri (PPE), mesin RT-PCR, pusat kuarantin, pelitup muka dan sebagainya.

Mengulas lanjut mengenai politik pembangunan yang telah dipraktikan sejak dahulu lagi, Dr Hazland berkata, projek pembangunan di setiap kawasan Dun di Sarawak tetap diteruskan demi manfaat rakyat selain terus membangunkan ekonomi Sarawak.

“Selepas insiden Mei 2018, Kerajaan GPS tetap meneruskan agenda pembangunan mengikut acuan sendiri selepas Kerajaan Persekutuan ketika itu bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) telah mendiskriminasi pembangunan Sarawak.

“Banyak projek pembangunan yang telah dan akan diluluskan ketika itu dibatalkan hanya kerana Kerajaan GPS tidak sehaluan dengan Kerajaan PH dan keputusan itu telah merugikan rakyat Sarawak secara keseluruhannya.

“Bagaimanapun, Kerajaan GPS yang ditadbir anak tempatan Sarawak bertekad meneruskan pembangunan seperti Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), Projek Kecil Luar Bandar (MRP), Projek Rakyat, Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) dan sebagainya demi untuk rakyat negeri ini,” jelasnya.

Beliau memberitahu, penubuhan GPS dengan objektif utamanya ialah membela dan mempertahankan hak Sarawak seperti yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak pernah pudar dan menjadi asas perjuangan dalam memartabatkan hak rakyat Sarawak dalam Malaysia.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak