PPV bergerak mudahkan jangkauan vaksinasi di kawasan pedalaman

BETONG: Demi mengurangkan kos pengangkutan dan memudahkan urusan pemberian vaksin di kawasan pedalaman, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Betong (JPBBB) menyusun atur program jangkauan mudah alih Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Penasihatnya Gerald Rentap Jabu memberitahu, hari pertama program tersebut di Klinik Kesihatan Nanga Mujau berjalan lancar.

“Kira-kira 100 penghuni rumah panjang di Mujau, Luing, Penyuin dan Ijok, Spak menerima dos pertama suntikan vaksin masing-masing.

“Inisiatif ini bagi memberi tumpuan kepada mereka yang berada jauh di pedalaman untuk menerima suntikan vaksin, agar mereka tidak perlu pergi ke PPV utama di Bandar betong.

GEMBIRA… Rentap bergambar dengan penduduk yang telah menerima suntikan vaksin.

“Sekali gus, membantu mengurangkan kos pengangkutan mereka dan mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menghadkan bilangan penumpang dalam sesebuah kenderaan,” katanya di sini semalam.

Jelasnya yang juga Adun Layar, selepas ini pasukan vaksinasi bergerak tersebut akan terus memberikan perkhidmatan di kawasan antara Klinik Kesihatan Nanga Mujau dan Klinik Kesihatan Nanga Tiga untuk menyediakan vaksin kepada kira-kira 1,500 penduduk yang layak di Dun Layar dan Bukit Saban.

Beliau menzahirkan penghargaan kepada JPBBB, Pejabat Kesihatan Bahagian Betong, para petugas serta masyarakat umum khasnya yang membantu dan menyokong kerajaan mendapatkan imuniti kelompok.

Tambahnya, masyarakat digesa untuk terus mematuhi SOP bagi mengekang penularan Covid-19.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak