PPV Industri kedua bakal diaktifkan di Kelab Kidurong Bintulu

BINTULU: Sebuah lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Industri bakal diaktifkan di Kelab Kidurong Bintulu bagi membantu mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 di sini.

Residen Bahagian Bintulu Jack Aman Luat berkata PPV Industri kedua ini adalah khusus bagi pekerja sektor industri minyak dan gas terdiri daripada Petronas dan anak-anak syarikatnya termasuk Shell dan syarikat kontraktor mereka dengan anggaran hampir 10,000 orang.

“Buat masa ini, pembukaan PPV ini masih di peringkat perbincangan antara Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu dan Petronas,” katanya yang ditemui hari ini.

Terdahulu, beliau meninjau persediaan PPV Industri Press Metal Bintulu Sdn. Bhd bagi pelaksanaan program vaksinasi yang menyasarkan pekerja sektor industri di kawasan Perindustrian Samalaju.

Sebagai permulaan, pemberian vaksin akan menyasarkan kepada kira- kira 6,000 pekerja syarikat Press Metal Bintulu Sdn Bhd, susulan inisiatif yang ditunjukkan oleh syarikat terbabit yang mahu turut serta dalam Program Imunisasi Covid-19 Bahagian Bintulu.

Suara Sarawak