Program Vaksinasi Atlet, Jurulatih dan Pegawai Sukan Sarawak bermula

KUCHING: Seramai 154 orang atlet dan jurulatih menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi fasa pertama Program Vaksinasi Atlet, Jurulatih dan Pegawai Sukan Sarawak, hari ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, mereka adalah daripada Kuching dan Kota Samarahan termasuk 41 orang jurulatih elit.

“Sarawak merupakan yang pertama di Malaysia melakukan inisiatif menyediakan vaksinasi kepada atlet, jurulatih dan pegawai sukan.

“Ini adalah sebahagian daripada strategi dan rancangan kita untuk memastikan atlet kita dilindungi daripada Covid-19 sekaligus memastikan latihan dan persiapan mereka seiring dengan jadual yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas meninjau Program Vaksinasi Atlet, Jurulatih dan Pegawai Sukan Sarawak di PPV Stadium Perpaduan, hari ini.

Karim menambah bagi atlet dan jurulatih yang berada di zon utara dan tengah, mereka akan diberi vaksin di pusat vaksinasi yang ditetapkan di bahagian masing-masing.

Suara Sarawak