Program Vaksinasi Pandu Lalu di kem Muara Tuang manfaatkan 7,032 individu

KOTA SAMARAHAN: Seramai 7,032 individu terdiri daripada warga tentera, keluarga serta kakitangan awam di sekitar Kuching akan menerima suntikan menerusi Program Vaksinasi Pandu Lalu di kem Muara Tuang yang akan dilaksanakan selama lima hari bermula hari ini.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sistem pelaksanaan secara pandu lalu itu dapat meningkatkan jumlah penerima vaksin sehingga 960 orang dalam tempoh lapan jam.

Menurutnya, ia sekali gus dapat menjimatkan masa serta mengelakkan kontak rapat penerima berbanding secara statik iaitu memberikan vaksin sekitar 300 hingga 500 orang dalam tempoh yang sama.

“Untuk program kali ini seramai 7,032 individu mengikut pecahan iaitu seramai 3, 272 anggota tentera, 3, 300 ahli keluarga dan 460 kakitangan awam telah disenaraikan untuk menerima suntikan vaksin.

“Seramai 70 petugas akan terlibat iaitu empat pegawai perubatan, 34 petugas kesihatan dan 32 petugas am. Faktor penyumbang kejayaan kaedah vaksinasi pandu lalu ini juga didokong oleh calon-calon penerima yang telah dikenal pasti terlebih dahulu di samping bilangan saluran kenderaan yang banyak disediakan,” katanya dalam sidang media di kem Muara Tuang hari ini.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak