Saufi Aiman Yahya, pemain Sape professional meninggal dunia

KUCHING: Pemain sape profesional Saufi Aiman Yahya, 31, ditemui meninggal dunia dalam keadaan terbaring di ruangan tempat membaca pejabatnya di City Square, semalam.

Pemuzik kelahiran Kuching itu pernah melakar sejarah buat Malaysia selepas meraih empat pingat emas dalam Kejohanan Dunia Pertunjukkan Seni ke-21 (WCOPA) di Amerika Syarikat pada tahun 2017.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan sekitar jam 9.13 malam bagi operasi mengangkat mayat keluar dari tingkat dua bangunan.

Menurutnya beliau disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum jasad tersebut dibawa keluar oleh pasukan operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Padungan.

“Seramai enam anggota bomba yang lengkap dengan alat perlindung diri (PPE) terlibat dalam pengoperasian mengangkat satu mayat di tingkat dua premis tersebut untuk dibawa keluar,” jelas kenyataan itu semalam.

Tambahnya, operasi mengeluarkan mayat tamat sepenuhnya pada jam 10.05 malam dan mayat telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Setakat ini, punca kematian masih dalam siasatan.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak