Selesa, banyak kemudahan

PEMBUKAAN Lapangan Terbang Mukah baharu semalam dilihat menjadi satu titik permulaan bermulanya operasi lebih selesa dengan pelbagai kemudahan yang diperlukan oleh penduduk di sini.

Salah seorang penumpang Aaron Benjamin, 23 berasa bersyukur kerana dapat menikmati kemudahan lapangan terbang lebih selesa.

“Sangat berpuas hati sebab dibandingkan dengan tempat yang lama kemudahan di sini jauh lebih bagus.

“Contohnya di lapangan terbang lama semua dilakukan secara manual. Sekarang ini semua sudah moden selain adanya kaunter imigresen.

“Saya harap lebih banyak lagi penerbangan dari Mukah termasuk luar Sarawak boleh kerana kita sudah ada kaunter imigresen.

“Saya harap lapangan terbang ini dapat meningkatkan lagi tahap sosioekonomi warga Mukah seterusnya dapat menaikkan lagi kedudukan Mukah di mata Malaysia,” katanya yang kini baharu mendapat pekerjaan di Kuala Lumpur setelah berjaya menamatkan pengajian di universiti.

Salah seorang guru, Silvia Hentap 28, sempat ditemui berkata, lapangan baharu itu dapat memudahkannya untuk pulang ke kampung halamannya di Kuching dengan lebih banyak lagi penerbangan pada masa hadapan.

“Harapan kami terutamanya yang jauh daripada keluarga.

Ada banyak lagi penerbangan dan lebih banyak masa dibuka untuk penerbangan sebab kami boleh mengatur masa untuk pulang pada hari Jumaat termasuk hari Ahad.

“Pada sebelah malam, kami dapat baliklah. Kami berharap ada penerbangan sebelah malam.

Bagi saya, pembukaan lapangan terbang dapat membawa orang luar yang belum pernah pergi ke Mukah untuk datang ke sini.

“Lebih-lebih lagi bagi keluarga terdekat dan kawan. Saya boleh bawa mereka menerokai tempat menarik seperti Lamin Dana.

“Kita juga banyak makanan yang menarik di sini terutamanya ulat mulong dan linut serta banyak tempat menarik,” jelasnya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak