Sepasang kekasih terlibat dalam penyalahgunaan dadah

PADAWAN: Sepasang kekasih disyaki penagih dadah dicekup polis di dalam sebuah bilik sewa di MJC Batu Kawa, pagi semalam.

Serbuan jam 10 pagi itu menyaksikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Padawan bertindak mengetuk pintu bilik beberapa kali sebelum suspek lelaki membuka pintu bilik berkenaan.

Kegiatan kedua-dua suspek terbongkar selepas hasil pemeriksaan awal polis menjumpai sebuah beg kecil berwarna hitam dipenuhi dengan peket lut sinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan Deputi Superintendan Lim Jaw Shyong yang mengesahkan kejadian berkata, suspek masing-masing berusia 40 tahun itu merupakan warga tempatan.

“Dalam serbuan tersebut polis menjumpai sebuah beg kecil warna hitam mengandungi sepeket plastik lut sinar mengandungi beberapa peket plastik lut sinar kecil.

“Setiap peket kecil itu pula mengandungi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah berbahaya jenis Syabu.

“Kesemuanya seberat 5.16 gram dengan anggaran nilai berjumlah RM400,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambahnya ujian saringan awal air kencing turut mendapati pasangan terbabit masing-masing positif dadah.

Tegasnya, kedua-dua suspek akan direman di Mahkamah Majistret Kuching hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Jika sabit kesalahan suspek boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun serta dikenakan sebatan tidak melebihi sembilan kali.

TAHAN…Pasangan kekasih berusia 40 tahun ditahan kerana disyaki terlibat aktiviti salah guna dadah
TAHAN…Pasangan kekasih berusia 40 tahun ditahan kerana disyaki terlibat aktiviti salah guna dadah
DADAH…Sebuah beg kecil berisi peket-peket kecil lut sinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak