Suntik dahulu, daftar kemudian

KAPIT: Pelaksanaan suntikan vaksin secara mobile di Daerah Kapit telah membantu merancakkan lagi perjalanan Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang bermula hari ini dengan lapan lokasi dilawati oleh kumpulan vaksinator.

Selaras dengan hasrat kerajaan, program vaksinasi secara mobile merupakan usaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Kapit (JKPBBK) dalam usaha memperhebatkan lagi PICK Daerah Kapit bagi memastikan imuniti kelompok dapat dicapai dengan kadar segera.

Bagi memastikan kelancaran program tersebut, jadual lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mobile telah diedarkan kepada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum pada minggu lalu.

Pemantauan yang dilakukan di SK Lepong Balleh yang merupakan salah satu lokasi PPV secara mobile hari ini mendapati penduduk setempat menyambut baik program ini dan tidak sabar untuk menerima suntikan.

Seorang warga emas, Munai Ajai, 75, dari Rumah Bakar Pulau Pisang yang merupakan individu terawal yang tiba di SK Lepong Balleh dan berjaya mendapatkan suntikan dos pertama. Beliau menyifatkan program ini amat membantu penduduk rumah panjang sekitar mendapatkan vaksin serta sedikit sebanyak memudahkan penduduk kawasan ini mendapatkan suntikan vaksin tanpa melalui perjalanan yang jauh ke bandar Kapit.

Sementara itu, seorang lagi penerima Balai Berasa, 42, berkata, program ini merupakan program yang ditunggu kerana telah lama membuat pendaftaran namun masih belum menerima janji temu.

“Pendekatan Kerajaan Sarawak yang menggunakan pendekatan suntik dahulu, kemudian daftar turut menjadi faktor pemudah bagi penerima vaksin di luar bandar yang tidak mempunyai akses talian Internet dan jaringan komunikasi,” tambah beliau lagi.

Pihak Pejabat Kesihatan pada masa yang sama turut memohon kepada individu yang bakal hadir ke PPV untuk membawa kad pengenalan dan kad kesihatan untuk semakan sebelum divaksin.

Penerima vaksin juga dinasihatkan untuk terus mengamalkan SOP norma baharu dalam memutuskan rantaian Covid-19. Pada hari ini suntikan vaksin secara mobile turut diadakan di beberapa lokasi lain iaitu Kampung Kemarau, Kampung Sawang , SK Nanga Ibau, SK Melipis, SK Mujong, SK Tunoh, SK Oyan Tengah.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak