Tiada pengakuan dibuat suspek bunuh kanak-kanak di Betong

BETONG: Tiada pengakuan dibuat oleh suspek utama kes bunuh kanak-kanak berusia dua tahun Jun lalu ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di Mahkamah Majistret Sri Aman pada 17 Jun lalu.

Susulan itu, Ketua Polis Daerah Betong Deputi Superintendan Zamry Alli berkata mahkamah mengarahkan sebutan semula kes pada 27 Julai depan.

“Tiada jaminan ditawarkan dan tertuduh kini direman di Penjara Pusat Sri Aman,” katanya yang dihubungi Suara Sarawak, hari ini.

Suspek yang berusia 23 tahun itu dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana mengakibatkan kematian seorang kanak-kanak berusia dua tahun pada 6 Jun lalu.

Suspek yang merupakan teman lelaki kepada ibu kanak-kanak tersebut ditahan selepas disyaki mendera kanak-kanak malang itu sehingga menyebabkan kematian.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak