Tiada polisi ‘walk-in’ di PPV Serian

SERIAN: Masyarakat di sini yang tidak mendapat janji temu melalui MySejahtera mahupun Pejabat Residen dan Pejabat Daerah dinasihati tidak datang ke tiga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang dibuka di bahagian ini.

Tiga PPV Serian ialah di Dewan Masyarakat Serian, Dewan Masyarakat Tebedu dan Dewan Masyarakat Siburan.

Pegawai Daerah Serian, Lim Hock Meng berkata ia kerana PPV Serian tidak menjalankan pemberian vaksin secara ‘walk-in’.

“Mohon kerjasama semua supaya faham dan tahu bahawa buat masa sekarang, tiada polisi ‘walk-in’ di PPV Serian.

“Suntikan vaksin hanya diberikan kepada penduduk yang mempunyai janji temu yang mendaftar melalui MySejahtera, Pejabat Residen dan Pejabat Daerah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menyatakan demikian susulan lawatan ke PPV Serian pagi tadi yang mendapati ramai orang hadir ke PPV di Dewan Masyarakat Serian dan sebahagiannya adalah dari Kuching.

Katanya kebanyakan mereka datang secara ‘walk-in’ tanpa janji temu.

Sehubungan itu, Hock Meng memohon orang ramai untuk memberi kerjasama agar proses vaksinasi di sini dapat berjalan lancar.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak