Tiga warga tempatan ditahan bersengkongkol menyeludup PATI

KUCHING: Pasukan dari Unit Operasi Khas (Quick Response Team) Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak telah membuat serbuan di satu premis bertempat di Tabuan Desa.

Menurut kenyataan, serbuan itu dilakukan susulan satu video yang tular di media sosial mengenai sebuah lori yang membawa Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) yang dikatakan bertempat di belakang sebuah Hospital swasta, Timberland pada 18 Jun.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing berkata, satu risikan telah dibuat dan hasil maklumat yang diperolehi mendapati lokasi kejadian tersebut bukan bertempat di belakang hospital swasta seperti yang di tular itu.

“Melalui hasil maklumat dan risikan, Pasukan Pegawai Imigresen telah bertindak untuk menyerbu lokasi di Tabuan Desa, yang telah dikenal pasti menepati struktur dalam video kira-kira pada jam 2 hingga 4 petang.

“Hasil serbuan itu juga mendapati premis tersebut sedang menjalankan perniagaan memproses sarang burung walit,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, serbuan tersebut juga telah membawa kepada penangkapan seramai 22 orang warga asing terdiri daripada lapan lelaki dan 14 wanita.

“Semasa serbuan dilakukan kesemua warga asing tersebut telah dijumpai sedang bersembunyi di sebuah bilik, tingkat 3 premis berkenaan.

“Tiga warga tempatan yang dipercayai majikan juga turut ditahan dalam operasi ini kerana dipercayai bersengkongkol dalam sindiket penyeludupan Pati berkenaan ke Sarawak,” ujarnya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak