Tubuh PKRC di kawasan yang teruk terjejas

KUCHING: Sarawak perlu menubuhkan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di kawasan yang berhadapan dengan peningkatan kes positif Covid-19.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing berkata ia boleh ditubuhkan di Kapit, Bintulu, Miri dan kawasan lain yang berhadapan dengan isu tersebut.

“Di kapit, PKRC perlu ditubuhkan di kawasan sekitar empangan Baleh, di mana kluster Covid-19 dikesan.

“Ia akan mengurangkan tekanan penggunaan Dewan Suarah untuk kes positif Covid-19 dan dengan cara ini juga kita dapat mengasingkan kes positif dan bukan positif, sekali gus memutuskan rantaian Covid-19,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau memaklumkan, bahagian Kapit akan berhadapan masalah kekurangan fasiliti sekiranya trend Covid-19 terus meningkat.

“Dewan Suarah dan Stadium Tertutup digunakan untuk menempatkan mereka yang positif manakala individu di bawah siasatan (PUI) ditempatkan di Asrama Belia dan Rumah Temuai.

“Sehubungan itu, purata kes positif Covid-19 yang dilaporkan di Kapit adalah 130 kes setiap hari,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, bagi kes yang serius ia ditempatkan di Hospital Kapit yang kini juga penuh.

“Dewan Suarah dan Stadium Tertutup Kapit juga akan kehabisan ruang untuk kes positif Covid-19 tidak lama lagi,” tegasnya.

Dalam hal berkaitan, beliau juga menyeru agar semua pihak berusaha keras untuk memastikan program vaksinasi berjalan lancar untuk mewujudkan imuniti kelompok yang besar.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak