Ular ‘bergusti’ bikin kecoh

BINTANGOR: Misteri bunyi bising membawa kepada penemuan dua ekor ular sedang ‘bergusti’ di Jalan Pedada di sini, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin berkata, kehadiran ular sawa dan tedung sepanjang satu meter itu disedari penghuni rumah selepas terdengar bunyi aneh di belakang rumah mereka.

Curiga dengan bunyi itu katanya, salah seorang daripada penghuni terbabit keluar untuk meninjau persekitaran rumah sebelum terserempak dengan kelibat ular berkenaan.

“Terkejut dengan penemuan itu, dia kemudiannya memberitahu penghuni lain sebelum menghubungi Bomba untuk mendapatkan bantuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sepasukan anggota yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Mohamad Mohmud bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada 7.25 pagi.

“Kami berjaya menangkapnya dengan menggunakan penjerut. Ia kemudiannya dilepaskan ke habitat asal yang jauh dari penempatan penduduk,” katanya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak