Usaha cari Muhammad Danish disambung lagi

MUKAH: Usaha mencari Muhammad Danish Muhammad Zamrie, 8, yang dikhuatiri hilang di sungai dekat Sekolah Kebangsaan Bukit Inkerbai akan disambung hari ini.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua mangsa melibatkan seramai 47 petugas terdiri daripada PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, dan penduduk kampung.

Menurut Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superitenden Muhamad Rizal Alias kesemua petugas telah dipecahkan kepada tiga pasukan dengan kekuatan logistik iaitu sebuah bot enjin bomba, satu bot APM dan empat perahu milik penduduk kampung.

Tambahnya, operasi seawal jam 8 pagi semalam turut diperkuatkan oleh skuad penyelam bomba dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Sibu dalam usaha mengesan mangsa di kawasan dasar sungai.

“Sebanyak empat kali selaman telah dijalankan iaitu dua kali secara individu dan dua kali secara teman (buddy) dalam jarak 30 meter daripada lokasi kejadian mengikut arus sungai.

“Selain itu pemantauan berkala menggunakan bot dan perahu panjang turut dilakukan pada jarak lima kilometer mengikut arus sungai dari lokasi tempat mangsa dipercayai tenggelam.

“Usaha operasi SAR hari kedua seterusnya ditamatkan pada jam 6 petang,” katanya dalam satu kenyataan Rabu.

Katanya, operasi SAR hari ketiga akan disambung pada jam 8 pagi.

Terdahulu mangsa dilaporkan hilang oleh rakannya ketika bermain di tepi sungai tidak jauh dari sekolah sekitar jam 9.30 pagi.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak