100 asnaf terima bantuan bakul makanan

BINTULU: Memahami keperitan hidup masyarakat yang berdepan dengan pandemik Covid-19, Lembaga Kemajuan Bintulu(BDA) mengambil inisiatif meringankan beban mereka dengan pemberian bakul makanan.

Seramai 100 golongan asnaf di sekitar Kampung Jepak menerima bakul makanan yang disampaikan Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) yang juga Adun Jepak Datuk Talib Zulpilip bertempat di Masjid Darul Makmur, Kampung Jepak, di sini.

Sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP), simbolik penyerahan sumbangan hanya disampaikan kepada 22 penerima sahaja, manakala 78 lagi bakul makanan akan dihantar terus ke rumah penerima yang telah dikenal pasti.

Selain sumbangan bakul makanan kepada golongan yang memerlukan, BDA turut banyak mengagihkan
sumbangan sepanjang tempoh pandemik termasuk bantuan logisitik, peralatan perlindungan peribadi (PPE), mesin pencuci pakaian, komputer dan sebagainya.

Turut hadir Timbalan Pengerusi BDA Haidar Khan Asghar Khan, Penolong Pengurus Besar Bahagian Korporat BDA Hasiah Morshidi dan Penghulu Drahman Kawi.

Talib menyerahkan bakul makanan kepada salah seorang penerima.
 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak