14 pos kawalan sempadan ATM sedang dibina, kekang kemasukan Pati

SARAWAK: Sejumlah 14 pos kawalan sempadan termasuk di kawasan Bau(Kuching), Sungai Paoh(Serian) dan Lubok Antu (Sri Aman) kini dalam proses pembinaan.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen berkata, ia merupakan pos baharu yang dibina di Sarawak melalui tiga fasa dengan projek rintisnya siap pada tahun 2019.

“Projek pembinaan telah dimulakan pada pertengahan tahun ini dan dijangka mampu beroperasi sepenuhnya pada awal tahun hadapan.

“Dengan pembinaan pos-pos baharu, kawalan sempadan negara antara Sarawak-Kalimantan akan dipertingkatkan, secara langsung meningkatkan keupayaan operasi pasukan Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam usaha mematahkan cubaan dan aktiviti jenayah rentas sempadan,” jelas kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu, tindakan terbabit merupakan lanjutan kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Yaakob mengenai pertambahan pos-pos kawalan di Malaysia Timur.

Tambahnya, ia sekali gus bertujuan mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) serta sebagai mengimbangi penempatan pos-pos Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD) iaitu empat buah pos baharu di fasa pertama sedang dibina.

Terdahulu Panglima Angkatan Tentera Darat (PTD) Jeneral Tan Seri Datuk Zamrose Mohd Zain telah meninjau pelaksanaan pembinaan pos-pos baharu bagi memastikan kesinambungan projek berjalan mengikut perancangan.

Tinjauan turut diiringi oleh Panglima Medan Timur Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad dan Panglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa.

Suara Sarawak