26,021 rakyat S’wak di luar negeri dibantu

KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Rumah Sarawak di Kuala Lumpur (RSKL) dan Sarawak Volunteers (SV) telah membantu seramai 26,021 rakyat negeri ini yang berada di luar Sarawak sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia termasuk 20,916 pelajar Sarawak di luar negeri ini khususnya di Semenanjung, Sabah dan Labuan.

“Seramai 17,954 warga Sarawak termasuk 17,739 pelajar telah menerima bantuan khas semasa PKP 1, diikuti 2,475 rakyat dan 2,018 pelajar menerima bantuan ketika PKP 2 dan 5,592 orang termasuk 1,159 pelajar menerima bantuan ketika PKP 3,” katanya semalam.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, antara bantuan termasuk menguruskan penghantaran pulang mereka yang terkandas, serta menyediakan penginapan sementara dan makan minum.

“Bantuan kewangan serta bakul makanan turut disalurkan kepada mereka yang berdepan masalah ketika pandemik ini.

“Dari segi bantuan kebajikan dengan peruntukan RM431,356.50, kita telah membantu seramai 587 rakyat Sarawak pada tahun lalu dan 117 orang sejak 1 Januari hingga 9 Julai tahun ini.

“Bantuan ini melibatkan tiga kategori iaitu bantuan mingguan (bagi kes yang dirujuk dari hospital di Sarawak), bantuan Lain (penginapan, makanan, tiket penerbangan dan sumbangan) serta penghantaran jenazah,” jelasnya.

Mengulas lanjut katanya, bantuan minggu pula telah membantu seramai 115 individu pada tahun lalu dengan nilai bantuan RM54,060, manakala 89 dibantu antara Januari hingga 9 Julai tahun ini melibatkan peruntukan sebanyak RM41,970.51.

“Bagi bantuan lain, seramai 418 orang telah menerima bantuan berjumlah RM67,738.99 pada tahun lalu dan 67 lagi menerima bantuan berjumlah RM32,337 dalam tempoh tujuh bulan tahun ini.

“Manakala RM168,400 peruntukan digunakan bagi pengurusan penghantaran pulang 54 jenazah ke negeri ini pada tahun lalu dan 21 jenazah tahun ini dengan perbelanjaan RM66,850,” jelasnya.

Ujarnya, Kerajaan Sarawak dan Ahli-Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah mewujudkan Pusat
Operasi Bantuan di RSKL sejak dari awal pelaksanaan PKP bagi membantu rakyat negeri ini yang memerlukan bantuan.

“Malah, dalam menyantuni isu dan permasalahan mereka, saya telah mengadakan beberapa siri perbincangan secara maya dengan wakil anak-anak Sarawak di Semenanjung, Sabah dan Labuan sejak pelaksanaan PKP 1 dan yang terbaharu pada 1 Julai lalu.

“Banyak perkara terutamanya berkaitan kebajikan mereka yang terkesan akibat pandemik dibincangkan dan akan diambil tindakan serta perhatian.

“Anda yang memerlukan bantuan boleh menghubungi talian RSKL dan SV di 01157505389 / 011-57505379 / 01169285673 / 016-8945579 (8.30 pagi hingga 5.30 petang setiap hari),” tambahnya.

Suara Sarawak