420 penduduk Batu Kitang terima vaksin Covid-19 dalam program vaksinasi bergerak

KUCHING: Sebanyak 420 suntikan vaksin diberikan kepada penduduk sekitar Kampung Semeba sempena program jangkauan vaksinasi bergerak yang diadakan selama dua hari, di sini.

Adun Batu Kitang Lo Khere Chiang berkata, program vaksinasi tersebut merupakan yang keempat dilaksanakan di kawasannya.

“Program yang sama telah dilaksanakan di gelanggang bola keranjang di SJK Chung Hua, Batu 10, Kota Padawan pada Sabtu, Ahad dan Khamis lalu.

“Kita menyasarkan warga emas, golongan kurang upaya (OKU) dan individu yang tidak mempunyai aplikasi MySejahtera,” katanya ketika lawatan ke Dewan Serbaguna Kampung Semeba di sini, hari ini.

Beliau berharap dengan adanya program jangkauan vaksinasi bergerak ini, ramai penduduk di Batu Kitang dapat menerima vaksin mereka.

Tambahnya, dianggarkan sekurang-kurangnya 80 peratus ke 90 peratus penduduk di Dun Batu Kitang telah menerima dos pertama vaksin Covid-19.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak