Akhbar Suara Sarawak menjadi ruang anjakan penulis Sarawak

KUCHING: Penulis Sarawak menghargai inisiatif akhbar Suara Sarawak menyediakan ruang untuk penulis negeri ini menerbitkan karya.

Timbalan Pengarah Dewan Bahasa Dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS) Jaafar Hamdan mengakui platform yang disediakan oleh Suara Sarawak itu banyak membantu penulis muda Sarawak melaksanakan anjakan kepada penulisan masing-masing.

“Inisiatif Suara Sarawak ini amat baik kerana menyediakan ruang untuk semua penulis tidak kira mereka yang veteran ataupun masih baharu untuk menghantar karya mereka di situ sebagai anjakan,” katanya.

Beliau yang juga penerima Anugerah Penulis Sarawak Genre Puisi dan Anugerah Penulis Sarawak Genre Esei Kritikan untuk Anugerah Sasterawan Negeri Sarawak ke-10 berkata demikian ketika sesi bual bicara secara maya bersama Sasterawan Negeri Sarawak di laman Facebook Borneo Channel, semalam.

Pendapat yang serupa diakui oleh Sasterawan Negeri Sarawak ke-10, Zainal Abidin Suhaili yang lebih dikenali dengan nama penanya, Abizai.

“Inisiatif Suara Sarawak telah membuka ruang yang luas kepada penulis Sarawak tanpa mengambil kira sama ada mereka adalah penulis yang baharu bermula, penulis yang telah berada dipertengahan ataupun penulis yang sedang berada di atas serta veteran,” katanya.

Penulis kumpulan puisi Membentuk Elok di Teluk Esok ini juga akui platform yang disediakan Suara Sarawak ini adalah ransangan kepada diri golongan penulis untuk melakukan anjakan kepada kebolehan mereka menghasilkan karya yang lebih bermutu.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak