Alena bukti artis Sarawak mampu kuasai pentas antarabangsa – Abdul Karim

KUCHING: Kejayaan Alena Murang dan sepupunya, Sarah Louis Dorai membuktikan artis kelahiran Sarawak mampu menggunakan industri muzik dan pembuatan filem kreatif sebagai platform untuk mengetengahkan warisan Borneo di pentas antarabangsa.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, mereka juga telah memberi inspirasi kepada belia tempatan untuk mengikut jejak dan terlibat dalam
industri tersebut yang menawarkan peluang berkarya tanpa batasan.

“Alena dan sepupunya membanggakan kita dengan sekali lagi meletakkan Sarawak dan Malaysia
di persada muzik antarabangsa yang sangat kompetitif.

“Sekali gus membuktikan artis negeri ini dapat menggunakan platform tersebut mempamerkan warisan Sarawak dan Borneo yang kaya dengan sejarah, budaya dan tradisi yang unik,” katanya.

Abdul Karim berkata demikian mengulas kejayaan penyanyi dan bintang sape kelahiran Sarawak, Alena yang berjaya memenangi dua anugerah menerusi video muzik lagu Warrior Spirit pada International Music Awards 2021 di United Kingdom, baru-baru ini.

Terdahulu, Alena berjaya membawa pulang trofi untuk kategori Best Asia & Pacific Music Video dan Honourable Mention for Best Costume menerusi video muzik lagu Warrior Spirit.

Video muzik yang dilancarkan pada 27 Mei lalu di YouTube itu setakat ini berjaya menarik lebih 149,000 tontonan di sleluruh dunia.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak