Anda tidak bersendirian!

KUCHING: Trend bunuh diri di Sarawak menunjukkan peningkatan bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Menurutnya, berdasarkan statistik PDRM, terdapat 37 kes bunuh diri direkodkan dalam tempoh tersebut.

“Justeru, ia menunjukkan peningkatan kepada 19.65 peratus dalam tempoh lima bulan berbanding 46 kes bunuh diri dilaporkan tahun 2020.

“Manakala, dari tahun 2018 hingga 2020 pula, trend ini naik sebanyak 77 peratus atau 20 kes,” katanya pada sidang media sempena penubuhan Community Chat di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, semalam.

Tambah Fatimah, tahun 2018 terdapat 26 kes bunuh diri direkodkan, diikuti 36 kes pada 2019 dan 46 kes tahun lalu.

“Daripada rekod tersebut, sebanyak 89 peratus kes melibatan lelaki, dan 96 peratus melibatkan mereka yang berusia 18 tahun ke atas.

“Berdasarkan statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak pula terdapat tujuh kes cubaan bunuh diri direkodkan dari Januari hingga Mei tahun ini.

“Manakala 15 kes cubaan membunuh diri masing-masing dicatatkan tahun 2018 dan 2019, dan 12 kes tahun 2020,” ujarnya.

Fatimah menjelaskan, kes bunuh diri ini berpunca daripada pelbagai faktor dan kesan Covid-19 terhadap isu kesihatan mental seperti yang sering disiarkan melalui media arus perdana dan media sosial.

“Sesuai dengan definisi kesihatan mental, keupayaan individu dan keluarga untuk menyesuaikan diri semasa pandemik ini telah membawa kepada pelbagai masalah sosial yang serius seperti cubaan membunuh diri dan tragedi membunuh diri,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau melahirkan rasa bimbang terhadap kes demikian. “Golongan ini perlu mengetahui bahawa terdapat pelbagai platform yang disediakan untuk membantu mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pandemik Covid-19 ini turut memberi kesan kepada kanak-kanak di peringkat sekolah rendah.

“Saya mendapat laporan daripada ibu bapa iaitu mereka mendapati terdapat perubahan sikap dalam kalangan anak-anak bahkan ada yang menjadi pendiam.

“Kita mengandaikan kanak-kanak tidak mempunyai masalah seperti ini tetapi mereka juga terkesan.

“Oleh itu, kita perlu mendidik ibu bapa agar sentiasa memperhatikan gejala sekiranya anak mereka berubah tingkah laku,” tegasnya sambil menambah perkara tersebut mungkin disebabkan anak-anak tidak bersosial.

Sejajar itu, katanya, sejak Mei tahun lalu hingga kini, sebanyak 47 program berkaitan dengan kesihatan mental telah diadakan oleh pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Dalam tempoh yang sama, sebanyak 634 kes kaunseling dikendalikan oleh pelbagai agensi dan NGO semasa pandemik Covid-19 di negeri ini,” katanya lagi.

Di samping itu, Majlis Pembangunan Sarawak (MPS) juga melakukan kajian kesihatan mental untuk mendapatkan gambaran keseluruhan kesihatan mental masyarakat termasuk kesan pandemik Covid-19 di negeri ini.

“Kajian tersebut dijalankan untuk merancang tindakan bagi mengatasi masalah kesihatan
mental di negeri ini.

“Kita tidak mahu melihat kes bunuh diri meningkat, tetapi kita mahu membendung gejala ini dari peringkat awal,” tegas Fatimah.

Menteri Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis dan Setiausaha Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Dr Rashidah Bolhassan antara hadir.

Suara Sarawak