ATM atur gerak untuk program vaksinasi penduduk pedalaman

MENCABAR…Cabaran utama pasukan CMVT ATM dalam menjayakan misi pemberian vaksin iaitu perjalanan masuk ke kawasan pedalaman

2. BERJAYA…Ahli masyarakat di kawasan pedalaman dilihat memberikan kerjasama baik kepada CMVT untuk melancarkan proses pemberian suntikan vaksin

 

KAPIT: Seramai 676 penduduk di pedalaman Long Busang dan Sang Anau melengkapkan dua dos vaksin hasil atur gerak Pasukan Tempur Vaksinasi Angkatan Tentera Malaysia (CMVT ATM) bermula 22 hingga 25 Julai, tahun ini.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas Satu Divisyen berkata, gerakan kali kedua CMVT ATM ke kawasan pedalaman turut melengkapkan pemberian vaksin pertama Sinovac kepada seramai 151 penduduk di Long Unai.

“Proses pemberian vaksinasi oleh CMVT ATM yang bermula pada 21 Jun lalu setakat ini telah mencatatkan sebanyak 6,801 suntikan yang terdiri daripada 3,659 suntikan dos pertama dan 3,142 bagi dos kedua.

“Bagi pemberian dos kedua di Nanga Jagau, Kanowit akan bermula pada 31 Julai ini manakala Pasai Siong, Sibu akan diadakan pada 3 hingga 5 Ogos tahun ini,” kata kenyataan tersebut.

MENCABAR…Cabaran utama pasukan CMVT ATM dalam menjayakan misi pemberian vaksin iaitu perjalanan masuk ke kawasan pedalaman

Sementara itu dedahnya, pasukan CMVT ATM terdahulu mengambil masa hampir lapan jam perjalanan dari Kapit ke Long Busang dan tambahan empat jam perjalanan menggunakan bot dari Long Busang ke Sang Anau.

Tambahnya, kesemua ahli CMVT ATM adalah seramai 20 orang petugas terdiri daripada empat pegawai dan 16 anggota paramedik tetap bersemangat demi memastikan atur gerak pemberian vaksin ke kawasan pedalaman Sarawak berjalan lancar.

Tegas kenyataan itu, kolaborasi di antara formasi Satu Divisyen bersama kerajaan Sarawak dalam melaksanakan pemberian vaksin PPV Outreach justeru mampu mempercepatkan proses vaksinasi di kawasan-kawasan pedalaman.

Jelasnya, ia sekali gus membantu menjayakan program imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) negeri Sarawak.

BERJAYA…Ahli masyarakat di kawasan pedalaman dilihat memberikan kerjasama baik kepada CMVT untuk melancarkan proses pemberian suntikan vaksin
 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak