BDA keluarkan notis pematuhan kepada bilik sewa

BINTULU: Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) akan mula mengeluarkan notis pematuhan kepada pemilik bilik sewa di atas rumah kedai di sini, bermula hari ini.

BDA dalam kenyataan, berkata langkah di bawah Peraturan-Peraturan Kesihatan dan Keselamatan, Ordinan Pihak Berkuasa Tempatan itu diambil berikutan peningkatan jumlah kes positif Covid-19 melibatkan penyewa yang menginap di bilik rumah kedai.

“Setelah pemeriksaan ke premis-premis tersebut baru-baru ini, didapati banyak pelanggaran peraturan seperti kesesakan dan sanitasi.

“BDA merayu kepada semua pemilik kedai khususnya yang mempunyai kes positif Covid-19 baru-baru ini untuk mengambil berat dan mematuhi perundangan berkaitan dan juga prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh kerajaan,” katanya.

BDA turut mengingatkan pemilik agar menjaga dan memikul tanggungjawab terhadap mereka yang menyewa dan tinggal di dalam bilik sewa di premis rumah kedai masing-masing.

Justeru, BDA menegaskan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya peraturan tersebut tidak dipatuhi.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak