Beritahu jika ada tercicir terima bantuan

KUCHING: Pusat Khidmat Petra Jaya komited dalam memastikan tiada individu yang memerlukan tercicir daripada mendapat bantuan di bawah program bakul makanan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pegawai pusat khidmat bertanggungjawab memastikan bantuan makanan itu sampai kepada masyarakat khususnya mereka yang terkesan akibat Covid-19.

“Kami menyiapkan ‘jentera’ dan ia juga melibatkan pegawai di peringkat Dewan Undangan Negeri,” katanya kepada menyerahkan bantuan bakul makanan Pemulih di Kampung Sungai Bedil Besar, di sini semalam.

Tambahnya, untuk kawasan kampung mereka bukan sahaja mempunyai anggota parti
tetapi turut melibatkan pemimpin masyarakat seperti ketua kampung, penghulu, kapitan dan lain-lain.

“Mereka juga membantu kami mendapatkan semua maklumat golongan yang memerlukan bantuan.

Melalui mekanisme seperti ini, kami dapat mengenal pasti individu yang terkesan akibat Covid-19,” ujarnya.

Fadillah berkata, Pusat Khidmat Petra Jaya juga sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai jika ada penduduk yang memerlukan bantuan di kawasan Parlimen berkenaan kerana mungkin ada yang tercicir daripada senarai penerima bantuan atau ada yang terlepas pandang.

Katanya lagi, maklumat itu boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Pusat Khidmat Petra Jaya iaitu Abdur Rahman Abdul Rahim (013-2644174) untuk kawasan DUN Tupong; Morshidi Said (013-8051971); Samariang dan
Satok Naz Ismadiee Khalit (0169247477).

“Dalam tempoh sukar ini, rakyat harus dibantu dan bantuan perlu disampaikan terus kepada golongan sasar.

Kami sedar ramai yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.

Kami akan berusaha membantu sedaya mungkin,” katanya.

Fadillah mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana memberikan peruntukan RM300,000 kepada semua ahli Parlimen untuk melaksanakan program bantuan bakul makanan.

“Terima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana menyalurkan bantuan melalui pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS),” jelasnya.

Beliau berharap melalui pelbagai bantuan oleh Kerajaan Persekutuan dan Sarawak, ia dapat meringankan beban rakyat, terutama kumpulan sasar dalam menghadapi cabaran pandemik Covid-19.

Suara Sarawak