Berniaga burger sejak 1979

KUCHING: Dengan bermodalkan RM300 pada awalnya, Roslan Awek bersyukur kerana perniagaan burger yang diusahakan, kekal bertahan sehingga kini.

Meskipun melalui pelbagai suka duka dalam perniagaan, namun dia menjadikannya sebagai kekuatan untuk terus maju ke depan.

“Saya mula berniaga burger sejak 1979 iaitu di bawah Jambatan Gantung Satok, berhampiran Medan Aneka Rasa pada suatu ketika dahulu.

“Namun saya berhenti seketika sebelum berniaga semula di hadapan rumah kami, di Jalan Matang Batu 3 ½ berhadapan restoran McDonald Metrocity pada 2006,” katanya yang menghasilkan daging burger resipi sendiri kepada Suara Sarawak.

Menurut Roslan, dia banyak dibantu isteri dan anak-anaknya ketika menjalankan perniagaan burger terbabit.

Tambahnya, selain berniaga burger, Roslan juga membuka tempahan Patti Daging dan menawarkan khidmat penghantaran kepada pelanggan.

“Tidak dinafikan pandemik yang melanda ini banyak menjejaskan operasi perniagaan saya serta peniaga lain.

“Bagaimanapun, putus asa bukan langkah terbaik sekiranya ingin terus bertahan,” katanya lagi.

Jelasnya, ketika sekatan pergerakan, Roslan memanfaatkan sepenuhnya penggunaan media sosial yang kini menjadi trend perniagaan, sekali gus banyak membantu memperkenalkan burgernya kepada masyarakat luar.

“Meskipun tidak dapat beroperasi sepenuhnya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, namun promosi melalui perkongsian di media sosial seperti Facebook dan WhatsApp dapat menarik perhatian pelanggan untuk mendapatkan burger kami.

“Biasanya, anak-anak membantu saya dari segi promosi dan selain sentiasa kemas kini perniagaan saya di laman mereka masing-masing,” katanya.

Mengulas proses tempahan, Roslan berkata pelanggan dialu-alukan menghubunginya untuk membuat tempahan agar tidak menunggu terlalu lama.

“Sebelum PKP, saya berniaga di hadapan kediaman saya sendiri di Jalan Matang batu 3 1/2 Kuching.

“Biasanya, kami beroperasi pada 5 petang hingga 1 pagi, namun kini saya mengehadkan operasi iaitu 4 petang hingga 10 malam,” katanya lagi.

Roslan turut mendedahkan, bahawa dia kini dalam perancangan membuka satu lagi cawangan baharu di kawasan lain.

Tambahnya hasil berniaga burger, dia mampu menjana keuntungan sehingga RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.

“Saya bersyukur dengan rezeki ini walaupun ramai pesaing menghasilkan burger lebih hebat.

Dengan persaingan positif itu, Roslan yang bernaung di bawah jenama Roslan Homemade Burger sentiasa berusaha memperbaiki perniagaannya dengan bersikap lebih terbuka pada setiap komen yang diterima.

“Harapan saya pada perniagaan ini supaya anak dan cucu dapat mewarisi resipi dan meneruskan perniagaan mereka dengan lebih maju dan berjaya agar dapat mengubah masa depan mereka.

“Saya juga berharap, suatu hari nanti saya mampu memiliki kemudahan seperti mesin patti dan peralatan lain untuk memproses patti daging sendiri,” tambahnya mengakhiri perbualan.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak