Bina banyak kilang sagu mini

MUKAH: Penubuhan Lembaga Industri Sagu dan Nipah yang diluluskan oleh Kerajaan Sarawak menggembirakan penduduk terutama mereka yang terlibat secara langsung dalam industri sagu dan tanaman rumbia, terutama di kawasan Mukah.

Ahli Jemaah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Mukah, Manucher Smith (gambar) berkata, penubuhan lembaga itu kelak akan membantu membangunkan ekonomi kawasan tengah negeri ini.

“Manfaatnya akan diterima oleh pengusaha tanaman rumbia yang menjadikan tanaman asal itu sebagai pendapatan utama mereka,” kata mantan pengerusi PPK Mukah itu ketika dihubungi Suara Sarawak.

Menurutnya, penubuhan lembaga itu akan menjadikan industri sagu lebih berkembang seperti juga komoditi lain antaranya kelapa sawit, koko dan lada hitam.

Lembaga itu bagaimanapun jelasnya, memerlukan sokongan daripada pengilang dan pengusaha sagu untuk membantu aktiviti pengilangan termasuk eksport produk tersebut.

Untuk itu, beliau berharap penanaman rumbia perlu digiatkan lagi kerana banyak permintaan.

“Buat masa sekarang, banyak syarikat masih mencari sumber dari luar Mukah untuk memenuhi permintaan pasaran.

“Kita sebenarnya masih memerlukan banyak kawasan untuk tanaman rumbia.

“Maka, dengan adanya lembaga ini kelak, mereka boleh membuat semakan dan survei supaya rumbia dapat ditanam dalam skala besar” jelasnya yang lebih 30 tahun terlibat dengan PPK Mukah.

Manucher memberitahu, lembaga itu kelak perlu mewujudkan lebih banyak kilang mini di kawasan strategik, termasuk mengawal penebangan rumbia.

“Juga boleh difikirkan menanam semula pokok rumbia atau mewujudkan kawasan baharu yang sesuai untuk penanamannya.

Manucher Smith

“Ini kerana pokok rumbia tidak tumbuh subur di kawasan berpaya dengan kedalaman melebihi 20 kaki,” jelasnya.

Bagi pasaran tepung sagu pula, lembaga itu perlu mewujudkan kilang bersaiz sederhana dengan membeli tepung basah daripada pengilang dan penduduk kampung agar semua mendapat manfaat.

“Seandainya lembaga ini hanya berfungsi sebagai pemantau, ia tidak akan berjaya mencapai objektif penubuhannya kerana orang kampung sudah biasa dengan tauke lama ini,” tegasnya.

Katanya lagi, lembaga itu perlu mengenal pasti pekebun rumbia dan aktif menjalankan proses tanam semula.

Secara umumnya tempoh matang rumbia sebelum ditebang bergantung kepada kesuburan tanah dan secara purata, pokok rumbia boleh dituai apabila menjangkau usia 12 hingga 13 tahun di tanah mineral dan 15 hingga 18 tahun di tanah gambut.

“Ini jelas memakan masa yang bukan singkat.

“Di sini kita dapat melihat peranan lembaga dan agensi yang berkepentingan membantu melestarikan penanaman pokok rumbia secara konsisten,” katanya.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak yang Datuk Seri Fatimah Abdullah baru-baru ini memaklumkan penubuhan Lembaga Industri Sagu dan Nipah diluluskan oleh Kerajaan Sarawak.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak