Cipta rezeki dengan cili fertigasi

BERMULA dengan hanya menggunakan 10 beg poli (gelaran untuk bekas kecil semaian) bagi mempelajari teknik penanaman cili fertigasi, ditambah dengan tekad dan usaha bersungguh-sungguh pasangan suami isteri dari Kampung Tanah Putih, Endap Kota Samarahan dekat sini berjaya menghasilkan 4,000 cili fertigasi ketika ini.

Fertigasi berasal daripada dua perkataan Inggeris iaitu fertilization dan irrigation.

Sistem ini juga satu cabang hidroponik seperti sistem titis mikro, hidroponik aliran dalam, hidroponik aliran cetek, hidroponik statik, aeroponik dan pemercik mikro.

Pengusaha kebun cili fertigasi Nur Effareena Didi, 28 berkata, ketika memulakan perniagaan tersebut mereka menyertai kursus bagi mempelajari sistem fertigasi.

“Setelah memahami cara penjagaan cili fertigasi, kami menanam 10 beg poli cili.

Apabila melihat hasil positif, saya dan suami Syarul Hafez Abdul Azim tekad untuk memulakan projek tersebut dengan tanah berkeluasan satu ekar.

“Suami saya ketika itu juga mengambil keputusan berhenti kerja setelah 15 tahun terlibat dalam bidang minyak dan gas di Bintulu.

Kami membuat keputusan untuk memulakan perniagaan cili dengan menanam 2,000 beg poli bersamaan 4,000 pokok cili,” katanya kepada Suara Sarawak.

Effareena pemegang Diploma Pengurusan Perniagaan di Universiti Teknologi Swinburne menambah, mereka pada mulanya tidak terfikir untuk mengusahakan tanaman cili fertigasi ini tetapi suaminya sejak 2017, memang sudah mencari jenis perniagaan yang berpotensi.

“Ketika itu juga, suami berminat mengusahakan penternakan ayam kampung kacuk dan menyertai kursus pada awal 2017 di Bangi, Selangor tetapi kos memulakan projek tersebut agak besar mencecah RM60,000 untuk memelihara 3,000 ekor ayam.

“Melalui beberapa pertimbangan ketika itu, suami melihat satu hantaran di laman Facebook mengenai kursus penanaman cili fertigasi dan kami bersetuju menyertai kursus anjuran HFE Agro Resources Sdn Bhd.

“Kami tidak mempunyai pengetahuan tentang sistem fertigasi mahupun tanaman cili.

Selepas menyertai kursus, kami membeli set tanaman fertigasi seperti yang digunakan sebagai set praktikal ketika kursus tersebut,” ujarnya.

Menjelas lanjut, katanya mereka memilih untuk mengusahakan tanaman cili fertigasi kerana terpengaruh dengan kenyataan tenaga pengajar kursus, yang yakin penanam cili memperoleh hasil yang lumayan.

“Modal permulaan hasil simpanan kami sendiri RM20,000. Ia juga kami gunakan untuk untuk modal permulaan sistem fertigasi terbuka bagi 2,000 beg poli.

“Alhamdulillah pada 2019, kami mendapat geran dari Jabatan Pertanian Sarawak melibatkan Rumah Hijau (40 kaki x 60 kaki) dan 400 beg poli set fertigasi.

“Selain itu, pada tahun sama kami juga mendapat geran Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) iaitu Rumah Hijau (20 kaki x 100 kaki) dan 300 beg poli set fertigasi.

“Pada 2020 dan tahun ini, kami menyertai Program Pembangunan Agri-Pembinaan dan Industri (Acid) di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan menerima dua unit Rumah Hijau (60 kaki x 100 kaki) dan 2,000 beg poli set fertigasi,” jelasnya.

Berkongsi mengenai cabaran tanaman cili fertigasi ini katanya, ia memerlukan penjagaan teliti dan ilmu pengetahuan tentang sistem penanam itu sendiri.

“Kami juga pernah gagal menghasilkan cili fertigasi ini, serangan musuh tanaman seperti serangga dan kulat perlu diberikan perhatian penuh.

“Disebabkan itu pengurusan masa sangat penting, setelah usaha keras dan kami bersusah payah mendapatkan hasil tanaman tetapi harga cili jatuh menjunam kerana lambakan cili di pasaran,” katanya lagi.

Effareena juga berkongsikan sasaran untuk penghasilan tanaman cili ini hingga 3 kilogram beg poli semusim dan ia juga bergantung kepada penanaman.

“Musim pertama kami hanya mendapat kurang 1 kilogram per beg poli, musim kedua kami mendapatkan hasil 2 kilogram dan musim ketiga kami berjaya menghasilkan 3 kilogram.

“Pada musim ketiga itu, kami sangat menjaga kualiti cili, berat dan memastikan buahnya mencapai sasaran yang ditetapkan,” ujarnya lagi.

Menurutnya, tanaman fertigasi ini lebih memudahkan kerja dan mempunyai banyak kelebihan berbanding sistem konvensional.

“Ia juga membantu mengurangkan kos operasi, meningkatkan produktiviti dan kualiti, menjimatkan masa, penggunaan air serta baja.

“Selain itu, sistem fertigasi juga meningkatkan kecekapan ladang, mengelak pencemaran nutrien – garam tidak meresap ke dalam tanah dan mengelak jangkitan bawaan tanah,” tegasnya

Setakat ini kata Effareena, mereka hanya menjual cili di pasar dan menghantar terus kepada pemborong.

“Saya berharap agar kami dapat menjadi pembekal utama sayur-sayuran di kawasan Kota Samarahan, Kuching dan Serian seterusnya menjadi pembekal utama di seluruh Sarawak.

“Saya juga berharap agar kerajaan lebih tegas terhadap isu import cili dan lebih mengutamakan cili keluaran tempatan kerana Sarawak juga mempunyai banyak pengusaha cili,” jelasnya.

Untuk rekod, pasangan ini menggunakan platform dalam talian seperti WhatsApp, Facebook dan sebagainya untuk mempromosikan cili dan berhubung dengan pelanggan.

Selain itu, orang ramai yang berminat untuk membeli cili atau melihat sendiri hasil tanaman cili fertigasi boleh menghubungi Effareena di Facebook Hafa Agriculture atau akaun peribadinya Erina Reesha dan suami Hafez Azim.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak