Dedah dunia kewartawanan sebenar

KOTA SAMARAHAN: Seramai 14 siswazah Unimas memilih untuk bekerja sebagai wartawan di agensi media tempatan SV News Sdn. Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Jeniri Amir berkata, tahun lalu juga tiga siswazah Unimas diserap sebagai wartawan di New Sarawak Tribune, akhbar kumpulan Suara Sarawak.

“Saya amat bangga dengan siswazah Unimas yang menjalani latihan industri di Suara Sarawak dan New Sarawak Tribune kerana menunjukkan sikap cemerlang.

“Malah, kita dedahkan mereka kepada dunia kewartawanan sebenar ketika menjalani latihan industri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Unimas dengan SV
News Sdn Bhd yang dilakukan secara maya di sini semalam.

MoU itu ditandatangani oleh Dr Jeniri bersama-sama Naib Canselor Unimas, Profesor Datuk Mohamad Kadim Suadi.

MoU itu sejajar dengan pelantikan SV News Sdn. Bhd sebagai Ahli Lembaga Pengajian dalam memberi input untuk pengubalan program baharu serta penambaikan kandungan kursus sedia ada.

Tambah Dr Jeniri, Suara Sarawak dan News Sarawak Tribune yang kini boleh didapati dalam bentuk i-paper memberi manfaat besar kepada Unimas kerana capaian pembacanya lebih luas.

“Malah kita sediakan platform bukan sahaja untuk pelajar tetapi pensyarah yang ingin mengisi ruangan mingguan di kedua-dua
akhbar ini menulis mengenai Unimas.

“Kita juga bersedia untuk memberi ruangan kepada Madah Samarahan dua muka surat untuk diisi oleh pelajar Unimas,” jelasnya.

Madah Samarahan merupakan buletin dibangunkan graduan tahun akhir Fakulti Komunikasi di Unimas.

Jeniri turut memberi maklum balas kepada Unimas mengenai persiapan yang perlu dilakukan oleh universiti itu.

“Siswazah perlu berkebolehan dan mampu membuat pelbagai tugasan dalam satu masa.

“Kerjasama ini bukan sahaja tertakluk kepada bidang kewartawanan malah bidang lain seperti sumber manusia, fotografi, pemasaran dan lain-lain,” ujarnya.

Suara Sarawak